Pemilik tadika lebur RM1 juta diperdaya ‘pelabur Taiwan’

0
197

SEORANG wanita pemilik tadika di Bukit Piatu, Melaka kerugian lebih RM1 juta selepas diperdaya lelaki Taiwan dalam pelaburan tidak wujud, selepas 11 hari berkenalan bulan lalu.

Ketua Polis Melaka, Zainol Samah, berkata mangsa berusia 53 tahun mendakwa berkenalan dengan lelaki dikenali sebagai “Tan Sau Fung” selepas akaun Instagramnya “ditag” oleh suspek pada 7 April.

Katanya, mangsa sejak itu sering berhubung dengan suspek yang mendakwa menetap di Jepun melalui talian Lime dan berkomunikasi secara lisan dan pesanan ringkas sehingga menjadi rapat.

“Pada 7 Mei lalu, suspek menawarkan mangsa untuk melabur dengan membeli barang di sebuah laman web yang kononnya di Amerika Syarikat.

“Mangsa diminta membeli dahulu barang sebelum menjual semula kepada pelanggan dengan mendapat keuntungan sebanyak 10% bagi setiap barang.

“Akibat terlalu mempercayai suspek, pengadu membuat 28 transaksi secara berperingkat ke dalam enam akaun berbeza berjumlah RM1.064 juta dari 7 hingga 30 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Zainol berkata, selepas membuat pembayaran pengadu kemudian menyemak laman web berkenaan pada 30 Mei lalu dan teruja mendapati komisen bakal diterimanya berjumlah USD200,000 (RM923,685.55).

“Pengadu kemudian cuba mengeluarkan wang itu, namun diarahkan membuat bayaran tambahan menyebabkan dia berasa curiga.

“Keesokan harinya pengadu sekali lagi cuba mengakses laman web dan terkejut mendapati ia tidak boleh diakses manakala akaun Instagram suspek juga sudah ditutup sebelum membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh,” katanya

Zainol berkata, siasatan awal mendapati semua wang dilaburkan pengadu adalah hasil simpanan dan pinjaman daripada ahli keluarganya.

“Kes disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Melaka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here