Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Wanita baru bersalin mengaku tak bersalah curi rantai leher budak -

Wanita baru bersalin mengaku tak bersalah curi rantai leher budak

SEORANG wanita yang baharu bersalin tiga bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas tuduhan mencuri rantai leher seorang kanak-kanak pada Sabtu lalu.

Tertuduh, Nor Zannah Andi Baso, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani, pagi ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai jurujual didakwa bersama-sama dengan seorang yang masih bebas dengan niat telah mencuri seutas rantai leher emas kepunyaan seorang kanak-kanak.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tapak Karnival Jom Heboh di Stadium Shah Alam, Selangor pada 3 Jun lalu sekitar pukul 5.30 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan di baca bersama Seksyen 34 akta yang sama.

Sabit kesalahan, ibu kepada seorang anak itu boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Nor Zannah Andi Baso,36, didakwa mencuri rantai leher seorang kanak-kanak perempuan di Tapak Karnival Jom Heboh, sabtu lalu ketika dihadapakan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zafirah Syed Mustapa mencadangkan agar tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Oon Guo Chen memohon agar mahkamah membenarkan jaminan yang minimum terhadap anak guamnya itu memandangkan tertuduh baru sahaja bersalin.

Majistret Nur Faizah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 11 Ogos depan sebagai tarikh sebutan dan serahan dokumen, lapor UtusanTV.

Media sebelum ini melaporkan pihak polis menahan wanita berkenaan selepas menerima aduan daripada pengadu yang merakam kejadian semasa suspek mengambil rantai leher dengan cara memotong menggunakan sesuatu objek lalu menarik rantai tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau jenayah melibatkan kes curi.