Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Rafizi digesa perjelas butiran dana projek kecil -

Rafizi digesa perjelas butiran dana projek kecil

SEBUAH badan pemikir menggesa kerajaan memberikan butiran mengenai sistem dicadangkan untuk membolehkan orang ramai memohon pembiayaan secara langsung daripada Kementerian Ekonomi.

Menurut Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Menteri Ekonomi Rafizi Ramli perlu memastikan sumber pembiayaan serta kriteria kelulusan untuk mendapatkan pembiayaan didedahkan sepenuhnya.

“Menteri juga perlu memastikan kelulusan dan pelaksanaan projek sentiasa dipantau dan didedahkan kepada awam demi kebertanggungjawaban,” katanya dalam kenyataan.

Khamis lalu, Rafizi berkata, sistem itu akan beroperasi menjelang minggu ketiga Jun. Bagaimanapun, katanya peruntukan diberikan hanya untuk projek berskala kecil, seperti menangani longkang tersumbat di kawasan perumahan.

Beliau berkata, pihaknya merancang untuk menerima permohonan pembiayaan langsung oleh “sesiapa sahaja di Malaysia”.

Pada masa ini, hanya wakil rakyat, pegawai daerah dan majlis tempatan boleh menghantar permohonan untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan. Permohonan itu diuruskan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Walaupun Ideas memuji usaha itu, institut berkenaan berkata penjelasan diperlukan mengenai peruntukan yang dirujuk Rafizi dan jumlah dana akan disediakan untuk tujuan tersebut tahun ini.

Ketika ini, katanya antara peruntukan yang diketahui untuk projek berskala kecil disalurkan melalui Ahli Parlimen dan Adun melalui peruntukan pembangunan kawasan (CDF).

Bagaimanapun, katanya CDF “tidak sepenuhnya telus” memandangkan jumlah peruntukan untuk setiap kawasan Parlimen atau DUN, dan mekanisme pembahagian peruntukan ditentukan sepenuhnya oleh perdana menteri, dan ketua menteri atau menteri besar pada peringkat negeri.

“Kerajaan yang memerintah memiliki kuasa penuh dalam memutuskan jumlah pembahagian peruntukan CDF dan natijahnya, kawasan Ahli Parlimen kerajaan mendapat peruntukan yang lebih banyak secara tidak adil,” katanya menurut laporan FMT.

Ideas menggesa kerajaan melaksanakan reformasi CDF bagi memastikan pengagihan dana dilakukan secara saksama, mengambil kira keperluan kawasan tanpa mengira parti politik Ahli Parlimennya.