Lanjut kontrak Azam: PM ‘sambil lewa’ lindungi pemberi maklumat – C4

0
166

PENGERUSI Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Edmund Terence Gomez mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya tidak serius dalam melindungi pemberi maklumat susulan pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Walaupun Azam terkait kontroversi yang didedahkan oleh pemberi maklumat K. Lalitha bahawa dia didakwa terlibat dalam skandal pemilikan saham, yang kemudiannya menimbulkan persoalan mengenai konflik kepentingan dan adakah jumlah itu sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam.

Azam mendakwa saham itu bukan miliknya tetapi dibeli oleh abangnya atas namanya, mendorong Suruhanjaya Sekuriti turut terlibat berhubung kemungkinan penyalahgunaan akaun dagangannya.

Gomez melahirkan kekecewaan terhadap Perdana Menteri berkata, lanjutan kontrak Azam akan mencemarkan agenda antirasuah Anwar.

“Kenapa Anwar, yang menyokong pemberi maklumat (Lalitha) dalam kes ini dan secara terbuka berdiri di sisinya dalam isu berkenaan, kini tidak bercakap tentang melindungi pemberi maklumat?

“Sebaliknya, dia melantik semula Azam, yang didedahkan (Lalitha terkait) urus niaga saham yang boleh dipersoalkan.

“Apa yang penting sangat (bagi Anwar sampai) perlu melantik semula Ketua Pesuruhjaya yang tercemar itu sedangkan dia berpeluang untuk memecatnya (Azam)? Saya tak faham.

“Jika anda tidak mempunyai SPRM yang berwibawa, pemberi maklumat yang manakah akan tampil apabila ketua pesuruhjayanya disaman oleh pemberi maklumat,” soal Gomez.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berucap pada forum bertajuk ‘Memperkukuh Dasar Pemberi Maklumat Malaysia: Apa Yang Perlu Dilakukan dan Bagaimana?’ anjuran GerakBudaya hari ini.

Gomez yang juga pakar ekonomi menjelaskan bahawa, beliau tidak mengkritik kerajaan secara membuta tuli, menegaskan bahawa Anwar telah berulang kali berjanji untuk memerangi rasuah.

“Cukuplah bercakap! Tunjukkan kepada saya bahawa anda benar-benar serius bertindak. Kami di sini untuk membantu,” tegasnya.

Gomez meletak jawatan daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM pada Disember 2021 sebagai membantah tindakan panel itu tidak bertindak terhadap dakwaan pemilikan hampir dua juta saham Azam dalam sebuah syarikat tersenarai awam.

Pelantikan semula Azam mengundang kritikan, dengan penyokong antirasuah menggesa Anwar untuk menjelaskan keputusan tersebut.

Gomez turut menyeru pentadbiran Anwar supaya komited melaksanakan reformasi dan janji-janji ketika pilihan raya umum lalu, terutama menjelang pilihan raya negeri yang semakin hampir.

“Jika kita tidak boleh mendapatkan ahli politik untuk memberi maklum balas sekarang, sekurang-kurangnya berikan kita komitmen awam. Saya bimbang kita mungkin tidak mendapat komitmen untuk perubahan sebenar selepas pilihan raya negeri.

“Kami mempunyai Perdana Menteri reformis yang berkata dia akan melakukan pembaharuan. Terima kasih, tetapi bolehkah anda melakukannya dengan pantas?

“Kerana walaupun ketika kita sedang bercakap hari ini, ada cakap-cakap bahawa kerajaan ini mungkin tumbang, jadi kita tidak ada banyak masa untuk dibazirkan,” katanya dalam forum itu.

Gomez berkata, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) yang ditubuhkan semasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah ditugaskan untuk merangka langkah menangani rasuah dan pembiayaan politik.

Kumpulan itu terdiri daripada ahli parlimen dan ahli masyarakat sivil.

“Pembiayaan politik menyumbang kepada rasuah. Dalam demokrasi yang berkembang maju, anda memerlukan pihak yang dibiayai dengan baik untuk melakukan kerja mereka.

“Menjalankan kerja-kerja parti dan kempen bukanlah murah dan mereka perlu telus dan bertanggungjawab,” katanya, lapor Malaysiakini.

Gomez mendedahkan bahawa draf rang undang-undang pembiayaan politik telah disiapkan dan ia telah dikemukakan kepada menteri undang-undang ketika itu Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, draf rang undang-undang itu kini di tangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Mengakui Azalina sudah memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa draf rang undang-undang itu telah dihantar kepada jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSSC) untuk dibincangkan, Gomez menggesa RUU itu dibentangkan di parlimen pada sidang kali ini.

Pada 7 September tahun lepas, pentadbiran Ismail pada dasarnya bersetuju dengan undang-undang mengenai pembiayaan politik apabila Rang Undang-undang Pembiayaan Politik dibentangkan kepada Kabinet.

Antara cadangan lain yang dibuat oleh KRPPM termasuk pindaan kepada Akta Pemberi Maklumat dan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here