Kos sara hidup ‘mustahil’ turun, negara perlu pelan induk keluar ‘jerat kelas menengah’

0
140

NEGARA perlu pelan induk untuk membantu meningkatkan pendapatan isi rumah bagi menangani kos sara hidup yang meningkat seiring pembangunan pesat.

Ahli ekonomi, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak, berkata kos sara hidup mungkin tidak boleh diturunkan lantaran kepesatan negara membangun ketika ini, justeru kerajaan perlu mengemukakan pelan bagaimana hendak membawa rakyat keluar daripada “jerat kelas menengah”.

“Kalau kos sara hidup tak boleh diturunkan, satu-satu cara untuk tingkatkan kesejahteraan hidup ialah meningkatkan pendapatan,” katanya kepada FMT.

“Menaikkan pendapatan ini perkara susah. Ia melibatkan perubahan struktur dalam ekonomi. Kita sudah terjerat dalam kelas menengah sejak 20 tahun lepas, tapi tak keluar-keluar lagi.”

Menurut Barjoyai, 70% daripada kumpulan pekerja hanya mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia dan dianggap sebagai kumpulan tidak mahir.

“Jadi bagaimana nak keluarkan mereka daripada kumpulan tidak mahir kepada mahir atau separa mahir, sekurang-kurangnya untuk meningkatkan pendapatan mereka?” katanya.

Katanya lagi, 50% kumpulan makan gaji mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,300 sebulan dan sudah 10 tahun gaji rakyat tidak meningkat.

“Kita perlu menyasarkan sekurang-kurangnya pendapatan isi rumah purata RM5,000 dalam masa lima tahun, barulah kita nampak ada perubahan untuk keluar.

“Ini tak nampak lagi. Tidak nampak ‘master plan’ bagaimana nak keluar daripada jerat kelas menengah ini,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Puad Zarkashi mempersoalkan langkah signifikan diambil Menteri Ekonomi Rafizi Ramli untuk memulihkan ekonomi, dengan sekurang-kurangnya memperkenalkan polisi baharu untuk meningkatkan “ekonomi rakyat”.

Mengambil contoh Bantuan Rakyat 1Malaysia yang diperkenalkan pentadbiran Najib Razak pada 2012, serta penyusutan nilai ringgit mutakhir ini, Puad berkata menteri “kena luar biasa” untuk pertahankan kerajaan perpaduan.

Barjoyai meminta pengkritik mempertimbangkan pelbagai perspektif apabila menilai keadaan ekonomi. “Dari segi perspektif pembangunan dan kadar pertumbuhan, ekonomi kita sebenarnya sudah pulih daripada ketenatan”.

Untuk mensejahterakan isi rumah, kerajaan perlu melakukan dua perkara iaitu menurunkan kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan, katanya.

“Sebenarnya, menurunkan kos sara hidup agak mustahil untuk dilakukan kerana Malaysia pesat membangun. Apabila pesat membangun, kita meningkatkan taraf hidup,” katanya, dan menambah taraf hidup mencakupi beberapa perkara seperti kemudahan awam dan gelagat pengguna.

“Kos hidup dan taraf hidup dua perkara berbeza tetapi berkait. Apabila taraf hidup meningkat kos sara hidup juga meningkat.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here