Bila takut bersuara, itu ‘tembak kaki sendiri’ – Puad bidas Asyraf Wajdi

0
124

ANGGOTA Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi membalas teguran Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berhubung kritikannya terhadap timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini.

Ini selepas Asyraf semalam berkata Umno perlu mengekang pemimpin mereka daripada menyerang sesama anggota atau pemimpin kerajaan dan menyifatkan perbuatan Puad umpama “menembak kaki sendiri”.

“Saya dituduh tembak kaki sendiri. Apakah meminta Rafizi mengemukakan formula yang realistik dan luar biasa dianggap tembak kaki sendiri?

“Apakah mendesak menteri supaya “perform” dianggap tembak kaki sendiri? Apa salahnya Rafizi ditegur?. Kalau dia luar biasa, Kerajaan Perpaduan tambah kukuh,” kata Puad lapor Malaysiakini.

Mohd Puad sebelum ini mengecam menteri ekonomi itu kerana gagal mengemukakan sebarang langkah signifikan untuk memulihkan ekonomi selain menyindirnya sebagai “banyak sangat formula”.

Kata Puad, seseorang menteri mesti “luar biasa” untuk mempertahankan kerajaan perpaduan hari ini.

“Bila jadi menteri tidak boleh biasa biasa. Mesti luar biasa.

“Jangan nanti rakyat kata Rafizi turun, ringgit naik,” katanya yang mengaitkan situasi itu dengan spekulasi mengenai rombakan kabinet.

Mengulas kritikan tersebut, Rafizi mengingatkan pemimpin Umno agar mengelakkan diri daripada membuat ulasan yang hanya akan menjauhkan penyokong PH daripada mereka.

Semalam, Aysraf berkata tindakan Puad menyerang sesama anggota dan pemimpin kerajaan umpama ‘menembak kaki” sendiri.

Dia sebaliknya berkata seseorang yang berada dalam kerajaan perlu mengambil tanggungjawab secara kolektif dan bukannya bersendirian.

“Apa maksud tembak kaki sendiri. Tidak boleh dikritik? Tidak boleh ditegur? Tidak boleh beri pandangan? Tugas saya bukan menghasut. Saya tidak ambil pun tugas lama Rafizi.

“Tembak kaki sendiri ialah bila menteri tidak perform, gagal buat benda luar biasa dan formulanya tidak boleh dipakai. Itu lemahkan kerajaan.

“Saya boleh dituduh tembak kaki sendiri bila takut bersuara dan kelemahan dibiarkan berleluasa. Sebab itu saya lain dari yang lain,” kata Puad.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here