Tiga sekawan ditangkap selepas samun penjual telefon guna pistol tiruan

0
200

TIGA sekawan diberkas polis dalam dua serbuan berasingan di Hulu Langat dan Skudai selepas menyamun seorang penjual telefon terpakai di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, tangkapan itu dilakukan susulan laporan polis yang diterima daripada mangsa berusia 25 tahun pada pukul 4.45 pagi kelmarin.

“Kesemua suspek berusia antara 24 hingga 26 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Sepucuk pistol tiruan yang dirampas selepas polis berjaya menahan tiga suspek yang terlibat dalam kegiatan samun bersenjata ketika Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Noor Delhan berkata, dua suspek ditahan di kawasan Hulu Langat, Selangor dan salah seorang lagi di Skudai, Johor.

Ujarnya, mangsa berurusan dengan suspek menerusi platform media sosial bagi pembelian Samsung Galaxy S22 dan iPhone 12 Pro Max.

Mereka kemudian mengadakan pertemuan pada malam 30 Mei di Kampung Baru sebelum meminta mangsa menyerahkan telefon untuk dilihat terlebih dahulu.

“Mangsa kemudian meminta bayaran seperti dijanjikan berjumlah hampir RM6,000.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya menunjukkan fotofit suspek yang terlibat dalam kegiatan samun bersenjata ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Namun, suspek bertindak mengacukan pistol tiruan ke arah mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.

“Turut dirampas dua pasang kasut, dua helai seluar jeans, sehelai baju-T, serangkai kunci serta sebuah motosikal Yamaha 135 LC,” ujarnya.

Semakan terhadap suspek mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan kesalahan dadah.

“Dua suspek bekerja sebagai penghantar makanan dan pekerja restoran makanan segera manakala seorang lagi penganggur,” katanya, lapor Utusan TV.

Kesemua suspek direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here