Jho Low di Macau: GSS terkejut SPRM buat dakwaan sepihak

0
172

PIHAK berkuasa keselamatan Macau menyelar kenyataan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dikeluarkan secara unilateral apabila mendakwa ahli perniagaan dalam buruan polis, Low Taek Jho atau Jho Low, bersembunyi di rantau itu.

Menurut Pejabat Setiausaha Keselamatan (GSS) Macau berkata, pihkanya terkejut dengan dakwaan agensi penguat kuasa antirasuah itu mengenai keberadaan Jho Low.

“Sekiranya laporan itu benar, agensi penguat kuasa undang-undang yang berkaitan di negara itu memilih untuk tidak mengesahkan keadaan dan mendapatkan bantuan melalui saluran (yang betul) bagi kerjasama polis antarabangsa atau bantuan undang-undang bagi hal jenayah.

“Sebaliknya, mereka mengeluarkan maklumat yang tidak disahkan secara unilateral.

“Tindakan sedemikian benar-benar melanggar peraturan dan norma kerjasama polis antarabangsa dan bantuan undang-undang mengenai perkara jenayah.

“Pihak berkuasa keselamatan (kami) amat terperanjat dan terkejut,” menurut GSS dalam kenyataan hari ini.

Agensi itu mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai reaksi mereka menjawab laporan Al Jazeera bahawa SPRM percaya Jho Low sedang bersembunyi di Macau.

Laporkan agensi berita berpangkalan di Doha itu disahkan oleh beberapa individu yang pernah melihat ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa beberapa negara terbabit di Macau.

Setiausaha Keselamatan Wong Sio Chak, turut menafikan dakwaan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika itu bahawa Low bersembunyi di Macau.

Mengulas lanjut, GSS berkata, mereka tetap dengan pendirian dibuat pada 2020 iaitu menafikan Jho Low sedang bersembunyi di Macau.

GSS menegaskan polis Macau dilarang undang-undang daripada mendedahkan sebarang maklumat kepada orang ramai berhubung penglibatan individu tertentu dalam kes itu.

“Ini adalah pematuhan yang perlu kepada status Macau sebagai bandar antarabangsa dan masyarakat yang dikawal oleh kedaulatan undang-undang.

“Penting untuk ditekankan bahawa polis Macau sentiasa mematuhi undang-undang dan prosedur dengan tegas semasa terlibat dalam kerjasama polis dengan semua negara dan wilayah mengikut amalan antarabangsa yang berkaitan,” kata kenyataan itu lagi.

Jho Low adalah dalang di sebalik skandal bernilai berbilion-bilion 1MDB dan telah didakwa tanpa kehadirannya di mahkamah AS dan Malaysia.

Di sebalik statusnya sebagai orang buruan, dia kini masih belum dapat ditahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here