Wan Saiful mohon ketepikan tuduhan kes rasuah

0
130

BEKAS ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan memfailkan permohonan untuk mengetepikan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa yang dihadapinya.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful selaku pemohon memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob bahawa pihaknya memfailkan permohonan itu di bawah Seksyen 173 (g) Kanun Tatacara Jenayah.

“Anak guam saya ingin membangkitkan bantahan awal terhadap pertuduhan-pertuduhan dihadapinya dan permohonan ini disokong dengan afidavit sokongan pemohon serta ia telah diserahkan kepada pihak pendakwaan,” kata Amer Hamzah pada pengurusan kes hari ini. 

Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali pula berkata pihaknya menerima salinan notis permohonan itu pada 29 Mei lepas melalui e-mel dan pendakwaan memerlukan masa membalas notis itu pada atau sebelum 9 Jun ini. 

Menurut Mohd ‘Afif, pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen berkaitan kes itu kepada pembelaan. 

Mahkamah menetapkan 27 Jun untuk mendengar permohonan itu.

Wan Saiful, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor memfailkan notis itu di Mahkamah Sesyen di sini menerusi Tetuan Chetan Jethwani & Company pada 29 Mei lepas. 

Berdasarkan notis itu, Wan Saiful memohon mahkamah mengeluarkan suatu perintah supaya pertuduhan terhadapnya diketepikan atas alasan pertuduhan berkenaan adalah defektif.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta. 

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di Kuala Lumpur antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022 lapor Malaysianow.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here