Seleweng 500 liter diesel bersubsidi, pemandu bas persiaran Singapura didakwa

0
203

SEORANG pemandu bas persiaran warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Khamis, atas pertuduhan menyeleweng 500 liter minyak diesel bersubsidi pada Selasa lalu.

Tertuduh, Low Yong Pang Benjamin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Mengikut kertas pertuduhan, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah bas jenis Scania yang dipandu warga Singapura itu dikesan memiliki kira-kira 500 liter barang kawalan terbabit.

Jumlah berkenaan melebihi had pembelian 20 liter diesel yang dibenarkan untuk kenderaan berpendaftaran asing.

Satu kesalahan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dengan barang kawalan berjadual secara borong atau runcit tanpa lesen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Kempas Baru, Johor Bahru, kira-kira jam 10 pagi, kelmarin.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Muhamad Sabiq Mohd Subri manakala tertuduh diwakili peguam Dahlia Tan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 beserta dua orang penjamin tempatan.

6 Julai depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pengesahan dokumen dan laporan kimia, lapor Astro AWANI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here