Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Duda didenda RM1,000 selepas pukul bekas isteri -

Duda didenda RM1,000 selepas pukul bekas isteri

SEORANG duda didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencederakan bekas isterinya kerana ingin membawa anak mereka ke sebuah klinik di Taman Cempaka, tahun lalu.

Tertuduh, Syazwan Izzuddin Samsudin, 30, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Norfarhana Azlin Azman, 24, yang ketika itu merupakan isterinya dengan cara memukul mangsa menggunakan tangan di bahagian kiri muka, lengan, leher dan badan.

Kesalahan itu dilakukan di kaki lima hadapan pintu masuk Klinik Famili Taman Cempaka dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira pukul 10 malam pada 14 Ogos 2022.

Justeru, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, kejadian berpunca susulan berlaku salah faham antara tertuduh dengan mangsa kerana berebutkan anak mereka yang ketika itu berusia tujuh bulan.

Difahamkan bayi tersebut tidak sihat dan tertuduh ingin membawanya ke klinik, namun dihalang oleh mangsa.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar.

Tertuduh diwakili peguam Haslinda Abu Bakar.