Ringgit lemah: Kempen politik Anwar dan Rafizi seperti makan diri

0
144

RAKYAT Malaysia yang celik politik pasti tidak akan melupakan bagaimana Pakatan Harapan (PH) berkempen mengenai keadaan ekonomi Malaysia dahulu.

Antara yang dijadikan bahan kempen ialah turun naik nilai mata wang negara, ringgit berbanding mata wang lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli semasa berada di blok pembangkang secara terbuka mengaitkan kejatuhan wang ringgit dengan kelemahan kerajaan.

Dalam satu hantaran di laman media sosial setahun lalu, Anwar pernah mendakwa nilai ringgit yang menyusut ialah kerana dunia “hilang keyakinan” kepada kerajaan.

“Kita memerlukan kepimpinan yang menginspirasikan keyakinan kepada rakyat sebelum menginspirasikan keyakinan pelaburan luar,” katanya.

Rafizi juga tidak terlepas dalam menjadikan nilai ringgit bahan politik kepartian. 

Baru-baru ini ahli Parlimen Pandan itu menukar haluan 180 darjah dengan menyatakan kejatuhan ringgit membawa kebaikan kepada negara.

Katanya pendapatan negara terutama sektor minyak boleh meningkat ekoran penjualan dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS). 

Sebelum ini, pada 20217 Rafizi pernah berkata kedudukan ringgit yang rendah memberi gambaran kepada kelemahan pentadbiran ekonomi perdana menteri ketika itu Daruk Seri Najib Razak.

“Ringgit adalah sangat penting kerana peratusan barang import yang digunakan oleh rakyat masih kekal tinggi, terutamanya bahan-bahan makanan,” katanya. 

Memetik laporan MalaysiaNow, pakar ekonomi daripada Institut IRIS, Adillah Zafirah berkata, semua pihak tanpa mengira kerajaan, pembangkang, atau tokoh berpengaruh tidak sewajarnya mempolitikkan isu nilai ringgit.

“Nilai ringgit berkait dengan polisi monetari di bawah tanggungjawab Bank Negara (BNM), sebuah badan berkanun yang bebas.

“BNM mempunyai jawatankuasa dan pegawai yang boleh dipercayai, mempunyai standard antarabangsa dan mampu membuat keputusan dengan cermat,” katanya.

Nilai ringgit merudum kepada paras terendah dalam sejarah iaitu 3.4 berbanding dolar Singapura, dan 4.6 berbanding dolar AS. 

Mata wang negara itu pernah mencecah paras terendah 4.73 berbanding dolar AS pada 2022.

Menurut Adillah, nilai mata wang ditentukan oleh pasaran, dalam sistem ekonomi yang ada sekarang. 

“Terlalu banyak faktor yang terlibat dalam pasaran mata wang, antaranya kestabilan politik negara yang berkaitan dengan keyakinan pelaburan, inflasi, nilai dolar Amerika dan geopolitik dunia,” tambah beliau.

Menurut Adillah, budaya politik Malaysia sejak sekian alam  mengasuh minda masyarakat sehingga menyukarkan pihak berkuasa menolak idea populis.

Contoh lain ialah cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang mana kerajaan campuran hari ini kini bergelut untuk melaksanakan cukai yang adil dan meningkatkan pendapatan negara setelah terlebih dahulu memomokkan sistem percukaian itu sehingga dimansuhkan.

“Rakyat jadi mangsa dengan golongan populis yang sanggup kompromi kepentingan nasional.

“Pemimpin perlu berani dan tegas buat keputusan yang betul bukannya populis gula-gulakan rakyat,” kata Adillah. 

Beliau berkata, naik turun satu-satu nilai mata wang tetap mempunyai kelebihan dan kekurangan yang perlu dilihat daripada keseluruhan aktiviti import dan eksport.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here