Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Malaysia negara pertama dapat permit operasi hospital di Madinah -

Malaysia negara pertama dapat permit operasi hospital di Madinah

MALAYSIA menjadi negara pertama memperoleh permit daripada Kerajaan Arab Saudi untuk menjalankan operasi hospital di Madinah bagi merawat jemaah negara pada Musim Haji 1444H/2023M.

Lembaga Tabung Haji (TH) menerima makluman berhubung keputusan itu pada Ahad lalu, dengan permit untuk pusat rawatan TH beroperasi di Madinah berkuat kuasa 25 Mei lalu.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata kejayaan itu mengulangi pencapaian sama pada musim haji tahun lalu, sekali gus menyifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap perkhidmatan kesihatan disediakan pasukan negara di Tanah Suci.

Malah, katanya, ia turut menunjukkan kesiapsiagaan dan kemudahan di hospital berkenaan menepati tahap tinggi sebagaimana ditetapkan dalam saringan dan pemeriksaan semakin ketat yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Arab Saudi, tahun ini.

“Tahun ini, Kementerian Kesihatan Arab Saudi menjalankan pemeriksaan, saringan dan peraturan serta syarat semakin ketat dengan pelbagai penambahbaikan diperlukan.

“Alhamdulillah, kita dapat memenuhi segala syarat dan penambahbaikan diperlukan itu, sekali gus Malaysia sekali lagi menjadi negara pertama mendapat permit untuk melaksanakan operasi hospital di Madinah pada tahun ini.

“Tahun lalu, Malaysia juga negara pertama mendapat permit menjalankan operasi hospital di Madinah dan Makkah,” katanya memaklumkan TH sedang menunggu kebenaran sama untuk pusat rawatan di Makkah bagi musim haji ini.

Beliau berkata demikian kepada media di Ibu Pejabat TH di Makkah, Abraj Al-Janadriyah, dengan turut dihadiri Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia (Kebajikan), Nurrinanuwar Shamsuddin dan Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia (Perubatan), Dr Abdul Marsudi Manah.

Mengulas lanjut, Syed Saleh yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH berkata, antara faktor menyumbang kelulusan permit oleh Kerajaan Arab Saudi itu ialah penyediaan pelbagai kemudahan seperti ambulans dan katil pesakit, peralatan serta ruang diperlukan dalam perkhidmatan kesihatan.

Selain itu, katanya, Kementerian Kesihatan Arab Saudi turut meneliti aspek pensijilan dan anggota rombongan perubatan Malaysia, termasuk pakar dalam bidang rawatan khusus tertentu.

Malah, beliau melihat nisbah antara kemudahan, perkhidmatan dan kepakaran disediakan pasukan perubatan negara dengan jumlah 31,600 jemaah haji Malaysia di Tanah Suci, sebagai yang terbaik serta tertinggi berbanding pihak lain.

Walaupun syarat dan peraturan dikenakan Kerajaan Arab Saudi diperketatkan setiap tahun, Syed Saleh berkata, rombongan perubatan Malaysia bersedia dan berusaha gigih mengemukakan permohonan permit seawal tiga bulan sebelum jemaah haji tiba di Tanah Suci.

“Kita membuat persediaan bagi memenuhi segala syarat dan terma ditetapkan Kementerian Kesihatan Arab Saudi, sehingga Malaysia berhasil menjadi negara pertama mendapat permit operasi hospital di Madinah pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, perkara diberi penekanan Kementerian Kesihatan Arab Saudi juga adalah amalan Kementerian Kesihatan (KKM), selain faktor hubungan baik antara Malaysia dengan pelbagai pihak berkaitan di Arab Saudi bagi membantu meningkatkan persefahaman bersama.

Secara keseluruhan pada tahun ini, pasukan operasi haji Malaysia mempunyai 296 petugas perubatan di Makkah, Madinah dan Jeddah. Setakat ini, 293 daripadanya sudah tiba di Tanah Suci.

Pusat Rawatan TH di Madinah antara lain dibarisi pakar kecemasan, pakar bius, pakar perubatan keluarga serta pakar perubatan kesihatan awam, selain menyediakan pelbagai perkhidmatan penting termasuk rawatan kecemasan, rawatan pesakit dalam dan pemulihan, ambulans, makmal perubatan, x-Ray, fisioterapi dan dietetik.

Ia beroperasi 24 jam dengan dilengkapi 33 katil pesakit.

Sementara itu, Dr Abdul Marsudi berkata, syarat dan peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan Arab Saudi yang ketat membabitkan aspek sumber manusia serta infrastruktur.

“Dari segi sumber manusia, kita wajib ada pakar tertentu di Tanah Suci, manakala aspek dokumentasi pula antara lain memerlukan sijil kepakaran.

“Yang baharu pada tahun ini adalah berkait pengurusan sisa klinikal susulan penularan COVID-19 sebelum ini. Semua petugas perubatan mesti memiliki sijil berkaitan pengurusan penyakit berjangkit, seperti kursus pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) dan pengendalian sisa klinikal.

“Itu antara perkara diwajibkan tahun ini,” katanya, lapor BH Online.