Pelajar tolak rakan dari tangga hingga cedera ditahan polis

0
141

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

POLIS menahan seorang pelajar Tingkatan Dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang kerana dipercayai menolak rakan sekelasnya dari tangga asrama dalam kejadian pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa berusia 14 tahun terbabit dikatakan mengalami kecederaan di bawah mata dan luka di hidung.

Difahamkan, mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk menerima rawatan pesakit luar sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, susulan kejadian itu, polis menahan suspek yang juga rakan sekelas mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

Jelas beliau, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.

“Berdasarkan siasatan, mangsa ditolak rakan sekelasnya lalu terjatuh dari tangga sehingga mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa dan kita masih menyiasat punca kedua-dua pelajar itu berselisih faham,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pulau Pinang di Georgetown hari ini.

Terdahulu, polis mengesahkan lima pelajar tingkatan lima ditahan bagi membantu siasatan kes buli yang berlaku di sekolah sama minggu lalu.

Kejadian pada pukul 11 malam itu melibatkan seorang mangsa yang juga pelajar tingkatan tiga dan dilaporkan berlaku di tandas lelaki salah satu blok bangunan sekolah berkenaan.

Difahamkan, mangsa dipukul oleh pelajar tingkatan lima terbabit disebabkan alasan lambat turun untuk solat Subuh.

Susulan itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua pelajar yang terlibat dalam kes buli tersebut akan diberhentikan.

Jelas beliau, tindakan tegas itu diambil kerana pihaknya tidak boleh berkompromi dalam isu buli khususnya melibatkan institusi di bawah agensi terbabit. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here