Jana Wibawa:Kes rasuah Adam Radlan dipindah ke dua Mahkamah Sesyen

0
150

DUA kes rasuah berkaitan Program Jana Wibawa yang dihadapi ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad di Mahkamah Sesyen Shah Alam dipindahkan ke dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Prosiding di hadapan Hakim Azura Alwi, mahkamah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali supaya pertuduhan menerima rasuah RM2 juta yang dihadapi tertuduh dipindahkan di Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama dengan satu lagi pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.

Terdahulu, Siti Amirah berkata Adam Radlan yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut didakwa atas satu pertuduhan menerima rasuah RM2 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan hakim membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

“Tertuduh juga telah didakwa meminta rasuah RM2 juta di mahkamah ini. Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon agar kedua-dua kes ini dibicarakan bersama. 

“Kami telah menyerahkan sebahagian dokumen kes itu kepada pihak pembelaan. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan untuk serahan baki dokumen,” katanya.

Azura menetapkan 14 Julai untuk sebutan kes bagi serahan baki dokumen itu.

Sementara itu di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali, Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat memaklumkan bahawa kes menerima rasuah RM2.1 juta yang dihadapi Adam Radlan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Natrah Fareha kemudian memohon supaya pertuduhan itu dibacakan kepada Adam Radlan dan ahli perniagaan itu mengaku tidak bersalah dan memohon kes dibicarakan.

“Kami mohon mahkamah mengguna pakai jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini dan mohon sebutan kes pada 14 Julai,” kata Natrah Fareha.

Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam mewakili Adam Radlan tidak membantah tarikh sebutan kes itu.

Siti Aminah membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengguna pakai jaminan itu dan menetapkan sebutan kes pada 14 Julai.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here