‘Saya ada beribu sahabat boleh tarik masuk PAS bersama’ – Annuar Musa

0
156

BEKAS Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang kini menyertai PAS, memberi kebebasan kepada anaknya, Afiq Amani Annuar terus memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh.

Beliau yang juga bekas Ketua UMNO bahagian itu dan bekas Ahli Parlimen Ketereh, mengakui boleh mengarahkan keluarganya bersama-sama menyertai PAS, tetapi tidak mengambil tindakan itu kerana memberi kebebasan kepada mereka.

“Sebenarnya, isu ini tidak berbangkit. Kalau tarik Afiq sahaja baru satu penyertaan, sedangkan saya mempunyai 400 hingga 500 ahli keluarga lain, termasuk beribu-ribu sahabat yang boleh ditarik sama.

“Dia anak saya dan saya boleh arahkan dia untuk masuk PAS, tapi saya tidak begitu. Anak saya Ketua Pemuda UMNO Bahagian yang dipilih akar umbi, jadi tidak timbul soal anak saya masuk PAS atau tidak.

“Dalam politik kita tidak boleh menunjukkan kesombongan dalam memberi apa-apa kenyataan. Masalah dalam kalangan pemimpin UMNO di Kelantan ialah suka cakap sesuka hati,” katanya yang juga Presiden Muafakat Nasional (MN), lapor BH Online.

Beliau ditemui selepas Pertandingan Suara Burung Candok di Bon Buyung, Kok Lanas, Kota Bharu hari ini, mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman yang menyarankannya mengajak Afiq menyertai PAS terlebih dahulu sebelum berkempen kepada orang lain.

Kata Zawawi lagi, sekiranya anak sendiri tidak meyakini tindakan Annuar itu, apatah lagi orang lain.

Mengenai ajakan supaya ahli UMNO mengundi calon parti dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk DAP, Annur berkata, terserah kepada orang Melayu untuk berfikir dan tidak membiarkan diri diperkotak-katikkan pemimpin.

“Ada yang sampaikan kepada saya, ini strategi dalam keadaan darurat kerana nak elak mudarat lebih besar. Jadi, kena sokong DAP supaya UMNO dapat banyak kerusi. Kalau UMNO sokong PAS melalui Perikatan Nasional (PN), UMNO tak dapat kerusi yang banyak.

“Itu sebenarnya naratif yang cuba direka sahaja. Sebelum ini, UMNO ada pilihan, tetapi tinggalkan PAS dan BERSATU, jadi kitalah yang terima akibatnya,” katanya.

Annuar berkata, orang Melayu Islam tahu apa yang mereka inginkan dan tidak akan biarkan perpaduan terus dipecah-belahkan, sekali gus akan membuat pilihan yang bijak dalam memilih pemimpin terbaik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here