Pas yakin Bersatu bersih dari tuduhan dikaitkan dengan dana judi

0
118

PAS yakin sekutunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersih dari sebarang tuduhan yang mengaitkan parti itu dengan dana syarikat judi ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Memetik laporan Astro AWANI, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadap Bersatu hanyalah bersifat fitnah tanpa sebarang bukti.

Beliau juga menegaskan pihak yang membuat tuduhan tersebut perlu mengemukakan bukti bahawa Bersatu menggunakan dana dari syarikat judi untuk membiayai kempen pilihan raya.

“Memang kita dengan Bersatu terbuka kerana di sana ada gabungan Perikatan Nasional, ada laporan dalam mesyuarat, oleh sebab itu kita yakin Bersatu ini bersih dan berterus terang dengan kita.

“Tuduhan-tuduhan itu lebih kepada fitnah, bahkan mengikut kaedah perundangan sekarang termasuk yang mereka ambil dari Islam, yang dituduh tak dianggap salah, mesti dibuktikan, kalau berani biar mereka buktikanlah.

“Kita tidak mahu tuduhan-tuduhan sahaja kerana kita lihat Pakatan Harapan (PH) ini banyak melemparkan tuduhan-tuduhan, terlalu banyak sangat.

“Yang ada kes tetap tidak selesaikan, dihentikan… yang dah ada, cari yang baru, adakan yang baru,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Jejak Nabi Muhammad SAW yang ditulisnya terbitan Yayasan Permata Ummah dan Pustaka Permata Ummah.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas.

Pada Khamis, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan bertulis memaklumkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur penerimaan rasuah termasuk sumber dana oleh parti kerajaan ketika itu seperti yang didakwa.

Azalina berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan, bagaimanapun, agensi itu mendapati maklumat tersebut terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu.

Bagaimanapun, pada Jumaat, Azalina menegaskan siasatan dakwaan dana judi melibatkan PN, tidak dihenti atau digugurkan.

Susulan jawapan Azalina pada Khamis, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu akan berbincang dengan peguamnya untuk mengambil langkah seterus terhadap kenyataan yang dibuat oleh Anwar, dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga meminta agar Perdana Menteri membuat permohonan maaf, sebelum beliau mempertimbangkan untuk sebarang tindakan lanjut.

Ketika diminta mengulas gesaan permohonan maaf oleh Pengerusi PN itu, Anwar meminta Muhyiddin membaca dengan lengkap kenyataannya berhubung dana judi yang didakwa melibatkan gabungan itu semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan jika ia tidak mempunyai asas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here