Pendakwaan mohon semua kes Muhyiddin dibicara bersama

0
156

PIHAK pendakwaan yang mengendalikan empat kes menggunakan kedudukan dan tiga kes pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memohon kepada Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini supaya semua pertuduhan kes berkenaan dibicarakan bersama.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pagi ini bahawa mereka memfailkan permohonan itu semalam.

Peguam Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memberitahu hakim Azura Alwi bahawa pihak pembelaan memerlukan masa untuk menjawab permohonan perbicaraan bersama itu, lapor Malaysiakini.

Azura kemudian mengarahkan pihak pembelaan memfailkan afidavit mereka sebagai jawapan kepada permohonan itu selewat-lewatnya pada 30 Jun, dan bagi pihak pendakwaan memfailkan sebarang jawapan kepada jawapan itu dalam tempoh dua minggu selepas 30 Jun.

Beliau juga menetapkan 4 Ogos untuk sebutan kes memandangkan dua permohonan Muhyiddin belum selesai di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Permohonan pertama adalah untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, dan satu lagi untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa.

Ketika ditemui media selepas prosiding, Hisyam berkata mereka akan membantah permohonan pihak pendakwaan agar pertuduhan dihadapi Muhyiddin dibicarakan bersama, dan menegaskan pasukan pembelaan hanya menerima salinan permohonan itu awal pagi ini.

Peguam mengulangi pendirian mereka bahawa pertuduhan salah guna kuasa tidak mendedahkan sebarang kesalahan undang-undang, dan pertuduhan itu tidak menyatakan butiran kesalahan itu.

Permohonan Muhyiddin untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya memfokuskan pertuduhan predikat (utama), iaitu empat pertuduhan salah guna kuasa.

Tiga pertuduhan pengubahan wang haram bergantung pada empat pertuduhan predikat berkenaan.

Muhyiddin menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 iaitu menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri (ketika itu) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Tiga syarikat itu ialah Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd., dan Mamfor Sdn. Bhd., manakala individu terbabit ialah Azman Yusoff.

Tiga pertuduhan pengubahan wang haram itu dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama.

Pemimpin berusia 76 tahun itu didakwa menerima lebih RM120 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn. Bhd. antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

Pengubahan wang haram itu didakwa dilakukan dengan menerima wang yang dimasukkan ke akaun Bersatu.

Ahli Parlimen Pagoh itu berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi bagi pertuduhan salah guna kuasa.

Bagi kes pengubahan wang haram, dia boleh dihukum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah terbabit atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Muhyiddin pertama kali didakwa pada 10 Mac. Beliau mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap keempat-empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here