Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Injunksi terhadap Puteri Sarah dilanjutkan hingga 8 Jun -

Injunksi terhadap Puteri Sarah dilanjutkan hingga 8 Jun

MAHKAMAH Tinggi Syariah di Shah Alam hari ini membenarkan permohonan pengarah filem, Syamsul Yusof untuk mendapatkan perintah injunksi lanjutan terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah, sehingga 8 Jun depan.

Itu merupakan perintah menghalang Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin daripada memuat naik, mengeluarkan, menulis, menerbit, menyebarkan, menghebahkan atau menyalurkan sebarang keterangan berhubung kes cerai dan nusyuz pasangan itu dalam apa jua bentuk atau medium.

Langkah tersebut merupakan injunksi lanjutan kedua dimohon oleh Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Shamsul Md. Yusof yang dibuat secara ex-parte atau sebelah pihak.

Berdasarkan perintah baharu injunksi itu, ia berkuat kuasa selama dua minggu bermula hari ini.

Pada tarikh itu, mahkamah akan mendengar permohonan injunksi secara inter-parte iaitu kedua-dua pihak (Syamsul dan Puteri Sarah).

Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie, Abdul Halim Abdullah pada Jumaat, Syamsul hadir dengan diwakili peguam syarie, Azmi Mohd. Rais dan Norrulnadiya Mohd. Saref.

Ketika prosiding pada Khamis, permohonan untuk melanjutkan perintah injunksi terhadap Puteri Sarah oleh pengarah berusia 39 tahun itu ditolak kerana mahkamah memerintahkan kes itu didengar secara inter-parte.

Difahamkan, Syamsul membuat perintah injunksi terhadap Puteri Sarah pada 25 April lalu bagi menghalang isterinya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pergolakan rumah tangga mereka di semua platform media sosial.

Hakim mengarahkan Puteri Sarah selaku defendan dalam kes berkenaan untuk memfailkan jawapan terhadap injunksi ex-parte dan sebutan semula kes seterusnya ditetapkan pada 8 Jun, lapor Sinar Harian.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah, 38, mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.