Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Dakwaan dana judi: Jawapan Azalina bukti Anwar fitnah, kata Hamzah -

Dakwaan dana judi: Jawapan Azalina bukti Anwar fitnah, kata Hamzah

SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) DatuK Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memfitnah Perikatan Nasional (PN).

Jelas beliau, ini susulan kenyataan Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat mengesahkan dakwaan PN menggunakan hasil daripada syarikat perjudian dalam kempen pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Jawapan Parlimen Azalina yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) semalam menunjukkan dakwaan Anwar berkenaan perkara itu rekaan serta pembohongan semata-mata.

“Kezaliman Anwar ini perlu dihukum secara total oleh rakyat terutamanya dalam pilihan raya di enam buah negeri yang bakal berlangsung tidak berapa lama lagi.

“PN sebagaimana telah dijelaskan Muhyiddin Yassin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, sedang menimbangkan tindakan undang-undang ke atas Anwar,” katanya dalam kenyataan.

Susulan jawapan Parlimen itu, Azalina menjelaskan beliau tidak menyatakan siasatan isu pendanaan pilihan raya daripada syarikat perjudian sudah ditamatkan atau digugurkan.

“Dalam hal ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan yang bebas dan berkecuali tentu sekali akan dan berhak menjalankan siasatan berkaitan dan membuka fail siasatan sebagaimana perlu mengikut Akta SPRM atau mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa berdasarkan kepada maklumat dan bukti yang diperolehi dari semasa ke semasa,” katanya.

Hamzah dalam kenyataannya, turut membangkitkan pendakwaan ke atas beberapa pemimpin Bersatu sebelum ini, terutama Muhyiddin, yang didakwanya sebagai kesinambungan kepada pembohongan, fitnah serta konspirasi jahat kerajaan terhadap mereka.

“Hal sama berlaku kepada saya beberapa minggu lalu. Kes terhadap seorang ahli perniagaan Cina diolah dengan niat jahat bagi memperlihatkan seolah-olah saya juga terbabit.

“Semua itu fitnah dan pegawai saya telah pun membuat laporan polis terhadap pihak-pihak yang menekan dan mencampuri urusan SPRM,” dakwanya lagi, lapor Malaysiakini.

Laporan polis itu dibuat pada 12 Mei lalu dibuat selepas Hamzah dikaitkan dengan kes itu dan agar polis menyiasat mana-mana pihak yang didapati campur tangan dalam SPRM untuk mencemarkan nama baiknya.