Kes jenayah komersial di P. Pinang meningkat 83 peratus babitkan kerugian RM53j

0
102

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

JUMLAH kes jenayah komersial di Pulau Pinang sepanjang tahun ini sehingga April lalu menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 82.7 peratus atau 628 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 1,387 kes jenayah komersial dilaporkan membabitkan kerugian sebanyak RM53 juta berbanding 759 kes dengan kerugian RM28 juta tahun lalu.

Menurut beliau, kebanyakan mangsa jenayah itu ditipu melalui online antaranya melibatkan penipuan telekomunikasi (phone scam); love scam; jenayah e-kewangan; jenayah e-dagang serta pinjaman dan pelaburan tidak wujud.

“Antara faktor yang menyebabkan jenayah ini masih lagi berleluasa dan sukar dikesan ialah scammer kerap mengubah modus operandi, menggunakan pendaftaran palsu perkhidmatan prabayar, penggunaan akaun keldai dan kekangan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan dan amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di George Town hari ini.

Menurutnya, peningkatan kes jenayah komersial itu merupakan cabaran kepada polis bagi mengambil langkah-langkah pencengahan lebih komprehensif dan agresif dalam menyedarkan orang ramai mengenai risiko penipuan menerusi teknologi komunikasi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kok Chin berkata, jumlah jenayah indeks yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini pula sebanyak 1,087 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu sebanyak 1,211 kes.

Jelas beliau, ia menunjukkan penurunan sebanyak 124 kes atau bersamaan 10.2 peratus.

“Dalam tempoh kajian tahun tersebut, jenayah kekerasan menunjukkan penurunan sebanyak 11.4 peratus manakala bagi semua kes di bawah kategori jenayah harta benda menunjukkan penurunan sebanyak 9.9 peratus,” katanya.

Tambah beliau, hasil penelitian dan kajian yang dibuat bagi tempoh itu mendapati, jenayah curi merupakan penyumbang utama jenayah indeks dengan 32.7 peratus, pecah rumah (20.6 peratus) dan curi motosikal (18.2 peratus).

Sehubungan itu, tambahnya, jenayah curi wajar diberi fokus utama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pulau Pinang dalam merangka kerja bagi menghasilkan ‘output’ yang terbaik untuk tahun ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here