Mahkamah Siti Bainun: Rayuan penangguhan hukuman penjara ditolak sekali lagi

0
132

PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, kekal dipenjara selepas sekali lagi gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu atas kesalahan mendera dan menganiaya remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella, sementara menunggu proses rayuan.

Menurut laporan BH Online, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache, hari ini menolak permohonan itu selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk membenarkan penangguhan hukuman berkenaan.

Siti Bainun, 31, yang dibawa dari Penjara Kajang, diwakili peguam, Ahmad Faiz Munawar, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria dan Shakira Aliana Alias.

Turut kelihatan di galeri awam mengikuti prosiding ialah keluarga wanita itu, termasuk ibunya.

Pada 3 Mei lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Siti Bainun bagi pertuduhan pertama atas kesalahan mengabai dan 12 tahun penjara bagi tuduhan kedua kerana menganiaya, dengan kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan secara serentak.

Izralizam mengarahkan Siti Bainun dihantar ke penjara serta-merta, selepas menolak permohonan peguam bela pengasas Rumah Bonda itu, Mohammad Farhan Maaruf, untuk menangguhkan hukuman berkenaan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah itu juga menetapkan supaya Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun, dengan cagaran RM5,000 dan menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam, yang disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada 9 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas mengemukakan lapan saksi dengan Siti Bainun sebagai saksi pembelaan pertama memberi keterangan pada prosiding bermula 26 Januari lalu.

Saksi lain memberi keterangan ialah pensyarah kanan bidang psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai serta pegawai penemubual Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC), Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim dan Nor Aidil Farhab Johaizad.

Siti Bainun sepatutnya memberi keterangan membela diri pada 16 Januari lalu, namun prosiding ditangguhkan berikutan tiga peguamnya iaitu Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan dan Nur Ellena Mohamed Razif, menarik diri daripada mewakilinya.

Prosiding membela diri itu bersambung keesokannya, namun dua lagi peguamnya iaitu Nurul Hafidzah Hassan dan Asiah Abd Jalil, turut membuat keputusan menarik diri daripada mewakili Siti Bainun, sekali gus menjadikan tertuduh tidak mempunyai peguam.

Pada 26 Januari lalu, Izralizam mengarahkan Siti Bainun memberi keterangan membela diri walaupun wanita itu tidak diwakili peguam supaya tidak mengganggu perjalanan kes.

Bagaimanapun, pada 20 Februari lalu, Siti Bainun melantik semula Mohammad Farhan, yang pernah mewakilinya semasa perbicaraan di peringkat pendakwaan.

Pendakwaan mengemukakan 22 saksi, termasuk bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood; pakar psikiatri, Dr Wan Asyikin Wan Azlan; pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur, yang memberi keterangan pada perbicaraan bermula 30 Mac 2022.

Pada 24 November 2022, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, di antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here