Muhyiddin beri ‘lampu hijau’ pemimpin Bersatu sokong Proklamasi Orang Melayu – Razali

0
131

TAN Sri Muhyiddin beri ‘lampu hijau’ pemimpin Bersatu sokong Proklamasi Orang Melayu

KETUA Penerangan Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berkata, belum sampai masanya untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad ‘duduk semeja’, walaupun Muhyiddin merestui pemimpin Bersatumenyokong Proklamasi Orang Melayu.

Katanya,  umum tahu hubungan kedua-dua ahli politik itu pernah dilanda krisis.

“Ada krisis di tengah jalan namun ia hanya krisis politik, bukan lebih dari itu. Bukan masa lagi untuk mereka berdua duduk semeja, tetapi akan datang saya akan cuba usahakan,” kata Razali kepada portal FMT.

Beliau berkata Muhyiddin beri ‘lampu hijau’ kepada pemimpin Bersatu untuk menyokong proklamasi itu atas kapasiti peribadi demi penyatuan Melayu.

Razali antara tiga pemimpin Bersatu selain Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

“Saya tak tahu apa yang tersirat dalam hati Muhyiddin, tapi saya tak nampak dia menentang apa yang Mahathir buat, lagi pun beliau bekas pengerusi Bersatu,’’ katanya.

Dr. Mahathir pernah menyifatkan Muhyiddin “pengkhianat” susulan peristiwa Langkah Sheraton pada 2020, yang menyaksikan pentadbiran beliau ketika itu tumbang dan digantikan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu.

Selain pemimpin Bersatu, turut menandatangani proklamasi itu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. 

Razali menolak sebarang andaian mengatakan sokongan Hadi kepada proklamasi itu akan menjejaskan Muhyiddin mahupun Bersatu, lebih-lebih lagi apabila pemimpin partinya yang menandatangani proklamasi itu terlebih dahulu.

“Tak timbul sebarang krisis, tak timbul Hadi nak tinggalkan Muhyiddin,” katanya, menyifatkan dakwaan-dakwaan seperti itu hanya mahu menjejaskan ‘persahabatan’ Pas-Bersatu.

Razali menjelaskan bahawa pemimpin Bersatu menyokong proklamasi cetusan Mahathir itu kerana “agenda Melayu”.

“Walaupun dia kalah dalam PRU tetapi dia bawa satu isu yang baik. Dia ada pengikutnya. Kita bersama menyokong,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here