Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
15 sekolah di ibu negara terjejas akibat ribut -

15 sekolah di ibu negara terjejas akibat ribut

KEJADIAN hujan lebat dan ribut yang melanda ibu negara petang semalam mengakibatkan 15 sekolah mengalami pelbagai kerosakan seperti bumbung bangunan tercabut dan pokok tumbang.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur sedang menjalankan semakan dan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dengan lebih mendalam jenis dan tahap kerosakan.

“Buat masa ini, JKR menasihatkan pihak sekolah termasuk guru-guru dan pelajar-pelajar supaya mengelak daripada memasuki kawasan terjejas sehingga keselamatan lokasi berkenaan dipastikan terlebih dahulu,” katanya dalam hantaran di Facebook di sini hari ini.

Menurutnya Kementerian Kerja Raya melalui JKR akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan usaha menyiasat, membaik pulih dan mengawal keselamatan dapat diselaraskan dengan sebaik dan secepat mungkin.

Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Perdana, Sekolah Kebangsaan (SK) Yaacob Latif, SK Salak South, SK Danau Perdana, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Imbi, SK Cochrane, SMK (P) Methodist.

Turut terjejas SK Setapak, SK Kg Bharu, SMK Puteri Wilayah (Asrama), SMK Seri Titiwangsa, SK Kementah, SMK Taman Melati, SMK Jinjang dan SK Seri Nilam.

Nanta berkata pihak kementerian turut menerima laporan kerosakan beberapa unit kediaman Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Batu Kentonmen Kuala Lumpur membabitkan bumbung dan sengkuap (awning) yang tercabut akibat kejadian itu.

“JKR akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melakukan pemeriksaan dan penilaian kerosakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

— BERNAMA