Dari peringkat negeri Sanusi kini pemimpin nasional

0
163

TINDAKAN pemimpin Pakatan Harapan (PH) terus menerus menyerang Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat melonjakkan lagi populariti beliau di peringkat nasional, meskipun beliau hanya memimpin negeri, kata pemerhati.

Ruangan dada akhbar sejak akhir-akhiri ni tidak lekang dengan berita membabitkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu berbanding dengan rakat sejawatnya dari negeri-negeri lain.

Dari isu bekalan ke Pulau Pinang sehinggalah kenyataan terhadap Perdana Datuk Seri Menteri Anwar Ibrahim, Sanusi terus-menerus menarik perhatian ramai termasuk pemerhati politik tempatan.

Disebabkan situasi ini, bekas ahli Umno, Khairy Jamaluddin turut melihat Sanusi sebagai ahli politik paling bernilai atau Most Valuable Politician (MVP).

Menurut bekas menteri kesihatan itu, sikap taksub dalam kalangan pemimpin PH terhadap Sanusi secara tidak langsung menjadikan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu terkenal di peringkat nasional, menunjukkan lonjakan populariti beliau berbanding sebelum ini.

Penganalisis politik dari University Tasmania Australia, James Chin berkata, Sanusi menjadi individu berprofil tinggi disebabkan beliau sering mengeluarkan kenyataan yang dianggap kontroversi.

Katanya, situasi ini menarik perhatian ramai, menyebabkan namanya sering terpampang di laporan media hampir setiap hari.

“Sudah tentu pihak lawan iaitu PH dan Barisan Nasional (BN) akan bertindak balas ekoran kehadiran media yang ramai untuk menyerang beliau,” katanya, lapor MalaysiaNow.

“Ini sebenarnya bukan soal populariti, selagi beliau boleh tarik perhatian media, orang ramai akan terus bercakap dan juga menyerang beliau.”

Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN mula membuat kemunculan sulungnya dalam dunia politik apabila beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek pada 2008, namun tewas kepada Mohd Tajuddin Abdullah yang mewakili BN dengan majoriti tipis 252 undi.

Selepas itu, beliau dilantik sebagai setiausaha politik kepada menteri besar Kedah pada ketika itu, Azizan Abdul Razak sehingga 2013 sebelum dipilih sebagai Adun Jeneri pada 2018.

Kemudian pada Mei 2020, Sanusi memegang jawatan menteri besar Kedah apabila PAS berpendirian untuk menyokong PN, sekali gus menyaksikan peletakan jawatan Mukhriz Mahathir.

Pada 2021, nama Sanusi mula menarik perhatian apabila beliau sering berbalah dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung topik bola sepak menjadikan nama kedua-dua individu itu sering menjadi tajuk berita.

Selepas topik itu reda, nama Sanusi masih menjadi sebutan ramai meskipun selepas tamat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada November tahun lepas ekoran beberapa siri kenyataan yang dibuat oleh pemimpin itu.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir berkata, kelantangan Sanusi menampakkan beliau sebagai antara pemimpin PN yang paling menyerlah terutama jika dibandingkan dengan menteri besar mewakili gabungan parti politik itu di Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Walaupun Sanusi dianggap sebagai seorang individu yang “bising”, Jeniri juga menyifatkan tingkah laku pemimpin itu sebagai normal memandangkan beliau mewakili parti yang kini merupakan pembangkang di peringkat pusat.

Dalam pada itu, Jeniri berpandangan bahawa gelaran MVP yang diberi oleh KJ kepada Sanusi dianggap tidak sesuai memandangkan jasa pemimpin PN itu masih belum diterjemahkan menerusi pentadbirannya.

“Sebelum diangkat taraf sebagai MVP, mesti ada ketokohan dan kewibawaan yang menyerlah. Secara peribadi, tak nampak lagi beliau ke tahap itu.

“Beliau banyak buat aksi yang menjurus ke arah sensasi politik. Jadi, ini tidak membawa kesan sangat kepada rakyat.

“Perlu dibandingkan dengan individu seperti Premier Sarawak Abang Johari Openg yang membawa banyak dasar serta inisiatif membawa keuntungan kepada rakyat dan negeri itu,” tambah Jeniri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here