Muhyiddin tawar jawatan MPT BERSATU kepada KJ

0
142

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU kepada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, jika beliau mahu menyertai parti itu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), yang juga Presiden BERSATU itu mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas bekas Menteri Kesihatan berkenaan dipecat daripada UMNO, pada Januari lalu.

Beliau berkata, tawaran itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan Khairy memberi sumbangan bagi memperkukuhkan kedudukan BERSATU, selain ketokohannya sebagai pemimpin politik muda.

“Saya dan dia (Khairy) sudah berbincang hal ini agak lama, sejak dia dipecat. Ketika itu dia ajak saya berjumpa dan berbincang secara terbuka mengenai hala tuju dan ketokohan beliau sebagai ahli politik muda yang berkaliber.

“Sebenarnya, dia tak mohon untuk masuk (BERSATU) tetapi saya tawar dia menyertai. Tawaran masih ada dan saya ada bertanya lagi (perkembangan menyertai BERSATU) ketika dia menghadiri rumah terbuka saya tempoh hari. Jawapannya cair.

“Khairy bagaimanapun belum memberi sebarang keputusan. Saya rasa tak mengapa, kita tak mahu menggesa dia tetapi harapan BERSATU adalah dia menyertai kita dan bantu membina kekuatan parti,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin, yang juga Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) merasmikan Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0, lapor BH Online.

Khairy bersama isterinya, Nori Abdullah, baru-baru ini, dilapor menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin (TSMCG) di Bukit Kiara, Sabtu lalu.

Sementara itu, Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh menjelaskan, Khairy tidak mengemukakan sebarang permintaan khusus, jika mahu bekas Ketua Pemuda UMNO itu menyertai BERSATU.

Beliau juga antara lain mengakui tidak menawarkan jawatan Menteri Besar di mana-mana negeri yang mungkin dimenangi PN, pada PRN yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

“Khairy terbuka (dengan tawaran menyertai BERSATU) dan pada masa sama menjelaskan, tiada ‘game changer’. Dia bersedia untuk tidak memiliki jawatan jika menyertai BERSATU dan tak mengemukakan sebarang tuntutan dan ini adil. Dia tahu selok-belok politik.

“Hal seperti ini biasa dibincangkan antara pimpinan dan tiada apa-apa yang mahu diselindungkan. Cuma, BERSATU ada dua kekosongan dalam MPT, namun ini bukan umpan untuk dia menyertai parti. Saya biarkan dia tentukan keputusannya sendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here