Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Tujuh polis antara 11 ditahan kes judi ekor haram - KP Pulau Pinang -

Tujuh polis antara 11 ditahan kes judi ekor haram – KP Pulau Pinang

TUJUH anggota dan pegawai polis negeri Pulau Pinang antara 12 individu ditahan untuk membantu siasatan berkaitan kegiatan judi ekor haram.

Perkara itu disahkan sendiri Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, susulan beberapa serbuan dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada Sabtu dan Ahad lalu.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut memandangkan kes itu masih dalam siasatan.

“Saya boleh mengesahkan bahawa ada tangkapan judi ekor haram dibuat membabitkan tujuh anggota polis dan lima orang awam.

“Tetapi saya tidak boleh ulas lanjut kerana siasatan lanjut masih dilakukan,” katanya ketika sidang media kes rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Berdasarkan maklumat, tujuh anggota dan pegawai polis ditahan itu berusia antara 27 hingga 48 tahun membabitkan pangkat Konstabel hingga Asisten Superintendan.

Lima lagi ditahan adalah orang awam berusia antara 30 hingga 55 tahun dengan polis turut merampas peralatan digunakan bagi kegiatan itu serta wang tunai dipercayai hasil aktiviti berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Kok Chin berkata 12 lagi individu ditahan di sebuah pondok tidak bernombor di Butterworth, di Georgetown, Ahad lalu kerana disyaki terbabit kegiatan pertaruhan judi lumba kuda.

Serbuan jam 3.55 petang itu dilakukan Cawangan Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara menerusi Op Dadu.

Beliau berkata, semua yang ditahan berusia antara 50 hingga 80 tahun dan peralatan disyaki digunakan bagi kegiatan itu turut dirampas.

“Semua yang ditahan direman di IPD Seberang Perai Utara selama dua hari berakhir hari ini mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(3) akta yang sama,” katanya, lapor BH Online.