Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
MRA salur bantuan bernilai RM1.2 juta kepada Turki-Syria -

MRA salur bantuan bernilai RM1.2 juta kepada Turki-Syria

MALAYSIAN Relief Agency (MRA) menyalurkan bantuan bernilai RM 1.2 juta kepada 642,000 individu di Turkiye dan Syria yang terkesan dengan bencana gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter, mengorbankan hampir 60,000 nyawa dan menyebabkan kehilangan tempat kediaman kepada 1.5 juta penduduk.

Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata hasil sumbangan daripada rakyat Malaysia, MRA berhasil meringankan beban mangsa yang terselamat dalam tragedi tersebut.

“MRA telah pun membuka sebuah pejabat satelit MRA di Gaziantep sejak beberapa bulan lepas untuk memastikan kordinasi bantuan kecemasan dapat disampaikan dengan berkesan.

“Di antara sumbangan yang disampaikan adalah bakul makanan, kit kebersihan, barangan dan susu bayi, sumbangan khemah, alatan pemanas, pakaian musim sejuk dan makanan bermasak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, MRA memanfaatkan sumbangan diterima dengan menyediakan keperluan khidmat kesihatan kepada penduduk yang tercedera akibat gempa atau penyakit selepas gempa.

“MRA menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan dan kesihatan percuma melalui klinik bergerak dan klinik statik di khemah-khemah penempatan kepada hampir 2,000 buah keluarga dengan menggunakan khidmat doktor dan paramedik terlatih.

“MRA juga telah menghantar doktor pakar, pegawai perubatan, ahli farmasi dan jururawat dari Malaysia untuk bersama-sama membantu merawat pesakit di sana.

“Tiga buah kilang roti yang rosak akibat gempa bumi juga telah dibaikpulih oleh MRA di daerah Jenderis, Syria. Dijangka projek ini akan berterusan sehingga akhir tahun dan akan mengurangkan beban mereka yang kehilangan pendapatan,” jelasnya.

Foto MRA

Dalam pada itu, MRA turut melaksanakan program Infaq Ramadhan dengan mengedarkan bakul makanan kepada 3,125 buah keluarga sempena berbuka puasa pada bulan puasa lepas.

MRA berhasrat ingin meneruskan perjuangan membantu mangsa gempa di Turki, Syria dengan melancarkan projek “Baitul Syukur” bertujuan membina rumah penempatan jangka panjang berharga RM13,500 sebuah, menyasarkan lebih 220 buah keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

“Bagi meneruskan bantuan MRA di bumi Turkiye-Syria ini, MRA melancarkan projek “Baitul Syukur”. Projek ini adalah pembinaan rumah penempatan jangka panjang berharga RM 13,500 sebuah yang akan memanfaatkan lebih 220 buah keluarga yang telah kehilangan tempat tinggal dan masih tinggal di dalam khemah sementara yang begitu daif.

“MRA mensasarkan RM 3 juta untuk keseluruhan projek ini,” katanya.

MRA sekali gus membuka peluang kepada orang ramai untuk menyumbang kepada usaha tersebut yang boleh disalurkan ke dalam akaun Maybank Malaysian Relief Agency Berhad dengan nombor akaun 5640-9820- 8020 atau hubungi 03-91744672 bagi pertanyaan lanjut. -SB

Foto MRA