Keputusan Mahkamah Tinggi berkait isu kalimah Allah di Sarawak tidak libatkan negeri lain – PM

0
118

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkait isu penggunaan kalimah Allah di Sarawak tidak melibatkan negeri-negeri lain di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian kerajaan kekal komited mempertahankan dan melindungi kepentingan Islam, orang Melayu dan Institusi Beraja khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah selaras dengan Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan..

“Ini khusus dalam kes Sarawak (kerana) kita faham Sarawak dulu tidak terikat dengan keputusan-keputusan negeri, dia tidak boleh terpakai untuk di Melaka, Pulau Pinang atau Selangor.

“(Kes) ini hanya khusus untuk kes Sarawak yang sudah kita kalah dalam kes awal, kerana di Sarawak memang diputuskan oleh negeri begitu rupa,” katanya lapor Astro AWANI.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Perpaduan Madani Anjuran Pertubuhan Prihatin Anak Melaka bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Bunga Tanjung Minyak, Melaka, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini dilaporkan sudah mengemuka nota kepada Jemaah Menteri mengenai keputusan KDN menarik balik rayuan di mahkamah berhubung keputusan penggunaan kalimah Allah.
Beliau dalam sidang medianya pada Selasa memaklumkan keputusan KDN tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes Jill Ireland lawan Kerajaan Malaysia adah disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan ketika itu menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran.
Jelasnya, isu terbabit adalah berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu dan bukanlah dari sudut teologi ataupun apa juga yang membabitkan penggunaan kalimah Allah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here