Zahid kena sedar diri, majoriti diperolehi PN luar biasa

0
133

KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukannya disebabkan kesilapan rakyat memandangkan jumlah majoriti yang diperolehi gabungan itu dianggap luar biasa.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, rakyat pada masa kini sudah pandai membuat penilaian sebaiknya dalam memilih parti yang dapat membela nasib mereka.

Menurut Shahidan, berikutan itu, beliau juga menjangkakan Barisan Nasional (BN) dan parti penyokong kerajaan Perpaduan bakal berdepan laluan sukar bagi meraih sokongan rakyat pada Pihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Saya nak cakap tentang kenyataan (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sebelum ini mengatakan kononnya pengundi yang melakukan kesilapan dengan memilih PN pada PRU15 lalu telah tersedar dan akan menyokong BN dalam PRN nanti.

“Dia (Ahmad Zahid) yang seharusnya kena sedar majoriti yang diperolehi PN itu begitu luar biasa sedangkan beliau sendiri pun hanya dapat majoriti 348 undi sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitiri DUN Tambun Tulang di pekarangan tapak Pasar Malam Utan Aji, di sini, semalam.

Pada Jumaat lalu, Ahmad Zahid menzahirkan keyakinan bahawa pengundi yang telah melakukan kesilapan memilih PN dalam PRU15 lalu akan beralih sokongan bagi menyokong BN dan parti sekutunya dalam PRN tidak lama lagi.

Katanya, BN bersama Pakatan Harapan (PH) yakin mampu menang di negeri-negeri majoriti Melayu yang ditadbir Pas di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, rakyat kini sedang memerhati dengan rapat pentadbiran kerajaan dan PN sememangnya optimis dapat menewaskan lawan mereka dalam PRN berdasarkan momentum sokongan ditunjukkan pengundi pada masa kini.

“Pengundi bukan silap sebab tak sokong BN, namun mereka silap kerana tak ubah seluruh negara kepada PN,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Shahidan turut mengingatkan pengundi agar dapat membuat pilihan dengan sebaiknya memandangkan masa negara merupakan penentu bagi nasib anak-anak muda selepas ini.

Tambahnya, berdasarkan pemerhatiannya, kebanyakan rakyat sememangnya tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan pada masa kini yang dianggap lemah.

“Disebabkan itu, saya juga akan ambil beberapa tindakan tertentu selepas ini untuk memperbetulkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan kerajaan bagi menegakkan keadilan buat rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here