Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lelaki maut, bakal tunang parah selepas balik beli cincin pertunangan -

Lelaki maut, bakal tunang parah selepas balik beli cincin pertunangan

LELAKI maut manakala tunangnya parah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 105 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Terminal Minyak Mentah (TCOT) dekat Kerteh, pukul 11 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, Muhammad Alif Hafizzudin Samsul, yang beralamat di Kampung Bukit Kuang, Kemaman, maut di tempat kejadian.

“Bakal tunangnya, berusia 20-an dan berasal dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun, parah dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

“Kejadian, kedua-dua mangsa menaiki kereta dari arah Kerteh menghala ke Dungun,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah Dungun ke Kemaman dipercayai hilang kawalan sebelum melepasi pembahagi jalan.

Katanya, MPV terbabit kemudiannya memasuki laluan kanan dan keadaan itu menyebabkan kereta yang dipandu mangsa gagal mengelak lalu bertembung dengan MPV terbabit.

Jelasnya, pertembungan kuat itu menyebabkan kereta dipandu mangsa remuk dan terbalik.

Hanyan berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan menghantar tunangnya pulang ke Dungun selepas membeli cincin pertunangan mereka di Kemaman.

Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya, lapor Harian Metro.