Polis buru lelaki pukul pemandu lori

POLIS memohon kerjasama orang awam menyalurkan maklumat berhubung insiden seorang lelaki memukul seorang pemandu lori dengan topi keledar di Plaza Tol Tanjung Kupang, Gelang Patah, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata pihaknya maklum mengenai perkara itu selepas tular video di Twitter memaparkan seorang lelaki yang membuat kecoh di kawasan berkenaan.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 6.15 pagi di Plaza Tol Tanjung Kupang menghala ke Singapura.

“Kejadian berpunca daripada teguran pemandu lori kepada suspek yang menunggang motosikal memasuki laluan sama yang dilalui lori di plaza tol berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH Online.

Video 28 saat tular sejak malam tadi yang memaparkan seorang lelaki bertengkar dengan seorang pemandu lori sebelum memukul pemandu lori itu menggunakan topi keledar. Lelaki itu turut dilihat menjerit ke arah petugas di plaza tol berkenaan.

Rahmat berkata, suspek kemudiannya beredar selepas ditarik oleh seorang wanita yang dipercayai isterinya.

Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk membantu siasatan.