Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bomba terbangkan pendaki patah kaki ke hospital -

Bomba terbangkan pendaki patah kaki ke hospital

UNIT Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan membawa keluar seorang pendaki Gunung Tahan yang patah kaki untuk menerima rawatan di Hospital Gua Musang, semalam.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata pesakit, Islahudian Abd Rahim, 41, dibawa menaiki pesawat Agusta Westland AW139 yang berlepas dari Subang pada pukul 4.20 petang.

Beliau berkata pesawat tiba di puncak Gunung Tahan pada 5.20 petang untuk mengambil mangsa yang telah dibawa ke sana untuk mendapatkan bantuan. 

“Pesakit dipercayai mendaki Gunung Tahan secara berkumpulan bersama empat rakan yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan.

“Mereka mendaki gunung di Merapoh dan dijangka turun melalui Gunung Tahan, namun apabila sampai di laluan menurun di Gedong, mangsa didapati patah kaki kanan dan sukar untuk berjalan,” katanya dalam satu kenyataan di Gua Musang hari ini.

Mohd Hasrizal berkata pesawat mendarat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada pukul 5.40 petang dan mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang dengan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tersedia menunggu ketibaan pesakit. 

“Operasi diketuai oleh Pegawai Kanan Penguasa Bomba Mohd Zukhairee Zabidi bersama empat anak kapal. 

“Kesemua petugas selamat tiba di Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang pada 6.40 petang dengan keseluruhan jam penerbangan berdurasi selama dua jam 42 minit,” katanya.

–BERNAMA