Amaran angin kencang, laut bergelora di kawasan perairan hingga Jumaat ini

JABATAN Meteorologi (METMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dan kedua, serta ribut petir membabitkan beberapa kawasan perairan, yang berbahaya kepada aktiviti laut dan pantai, mulai hari ini hingga Jumaat.

Menurut laman sesawang METMalaysia, bagi Seksyen A iaitu perairan Malaysia, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dikeluarkan membabitkan angin kencang barat laut berkelajuan 40 kilometer sejam (kmsj) hingga 50 kmsj, dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (m).

Situasi ini dijangka berlaku di kawasan perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang serta Perak sehingga Jumaat ini dan ia berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang juga diramal berlaku di kawasan perairan Johor Barat, Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga jam 2 petang, hari ini.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora, dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter serta berbahaya kepada bot kecil.

Menurut METMalaysia, bagi Seksyen B iaitu untuk perkapalan, amaran sama kategori kedua iaitu angin kencang barat laut berkelajuan 50 kmsj hingga 60 kmsj, dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 m pula dijangka di kawasan perairan Phuket hingga Jumaat ini.

METMalaysia menyebut, keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai, termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri.

“Amaran sama bagi kategori pertama iaitu angin kencang barat laut berkelajuan 40 kmsj hingga 50 kmsj, dengan ombak sehingga 3.5m juga dijangka di kawasan perairan Selat Melaka utara dalam tempoh sama.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya lapor Berita Harian.

Sementara itu, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di kawasan perairan Phuket, Selat Melaka utara, barat Samui, Tioman, Condore dan Sulawesi hingga jam 2 petang ini.

“Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 m dan berbahaya kepada bot kecil,” katanya.