Jasa kamu bantu Melayu dilupa jika ‘tenyeh’ bekas pemimpin, KJ beritahu Anwar

0
141

BEKAS menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata rakyat akan melupakan segala jasa dan usaha baik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu orang Melayu jika beliau terus mencabar bekas pemimpin dan pembesar negara.

Khairy berkata, kenyataan Anwar itu hanya akan mengundang reaksi negatif sekali gus menenggelamkan segala usaha sedang beliau laksanakan.

“Bagi saya beliau ada kemahuan untuk ‘tenyeh’ pemimpin dan pembesar berkenaan tetapi saya rasa beliau kena kawal.

“Kalau tidak semua benda bagus yang beliau lakukan seperti bantu maahad tahfiz, peruntukan SME, Bumiputera dan sebagainya semua itu akan tenggelam,” katanya dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan.

Anwar pada satu majlis rumah terbuka Aidilfitri Sabtu lalu, menyelar bekas pemimpin dan taikun Melayu yang kononnya membela nasib orang Melayu sebaliknya memperkayakan diri sendiri dan keluarga mereka.

Tanpa menamakan sesiapa, Anwar mencabar bekas pemimpin itu untuk menyumbang sebahagian harta jika mereka benar-benar mahu membantu orang Melayu.

Menurut bekas Ahli Parlimen Rembau itu, kenyataan Anwar juga dilihat sebagai tidak matang dan tidak sesuai diucapkan oleh seorang perdana menteri.

“Bagi saya bukan sahaja dari segi strategi komunikasi beliau (Anwar) gagal, sebab orang akan nampak dan mempersoalkan: Kamu ini dah jadi perdana menteri kenapa nak cabar orang macam itu?

“Anwar sepatutnya bukan mencabar tetapi sebalik bertindak selari dengan statusnya iaitu dengan mengikut polisi dan prosedur siasatan jika beliau berpendapat ada keperluan untuk menyiasat individu yang disyaki terlibat penyelewengan,” katanya lapor FMT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here