Dua rakan dipenjara lima tahun sebabkan kematian seorang lelaki

0
110

MAHKAMAH Tinggi Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas dua rakan atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki tiga tahun lepas.

Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menjatuhkan hukuman itu dari tarikh mereka ditangkap iaitu 8 Mac 2020 selepas Muhammad Iman Divaharan Abdullah, 44, dan G. Suria Sekaran, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.

Mereka didakwa menyebabkan kematian Ling Hua Chai, 47, dengan mengetahui bahawa perbuatan mereka mungkin menyebabkan kematiannya di hadapan Huang Cheng KTV, Persiaran PM 2/5, Pusat Bandar Manjung pada kira-kira 11.30 malam 7 Mac, hingga 12.20 tengah malam 8 Mac 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil dan Nasrul Hadi Abdul Ghani, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Tun Mohamad Ammar Aziz dan Charan Singh Kartar Singh

Terdahulu, Tun Mohamad Ammar yang mewakili Suria Sekaran merayu hukuman ringan atas alasan ia merupakan kes pertama dihadapi anak guamnya yang bekerja sebagai penjaga parkir dan anak guamnya memohon maaf kepada mahkamah serta keluarga mangsa, selain insaf.Charan Singh yang mewakili Muhammad Iman Divaharan pula memberi alasan anak guamnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan perlu menanggung ibu yang uzur dan isteri serta empat anak yang sedang belajar, selain pengakuan oleh tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah.

Bagaimanapun Khazrin Haffiz berkata pengakuan salah dua rakan itu tidak melayakkan mereka mendapat hukuman ringan dan kes melibatkan kepentingan awam.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku dalam pertengkaran antara kedua-dua tertuduh dan mangsa serta beberapa individu lain apabila Muhammad Iman Divaharan meletakkan kenderaan di laluan keluar masuk parkir di hadapan Huang Cheng KTV.

Dalam pertengkaran itu juga, Suria Sekaran telah menyebabkan si mati cedera dengan menggunakan pisau hingga kritikal, lalu meninggal dunia di Hospital Seri Manjung pada 12.43 tengah hari 9 Mac 2020.

  — BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here