Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pekerja kedai telefon acu pistol kepada mekanik dipenjara lapan bulan -

Pekerja kedai telefon acu pistol kepada mekanik dipenjara lapan bulan

SEORANG pekerja kedai telefon dipenjara lapan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu menakut-nakut serta mengacu pistol kepada seorang mekanik dan memiliki pistol tiruan.

Low Zhao Yuan, 29, didakwa telah menakut-nakutkan secara jenayah hendak menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zulhusni Mohamad Amin, 25, di tepi jalan, berhadapan bangunan Melaka Mall, Jalan Lebih Ayer Keroh di sini, kira-kira 12 tengah malam pada 28 April lepas.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan mengandungi enam butir peluru di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara bagi pertuduhan pertama manakala enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua dan berjalan serentak dari tarikh ditangkap.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri manakala tertuduh diwakili peguam James S Thanjong Tuan.

— BERNAMA