Sanusi sudah serah wang saman kepada peguam

0
140

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklum beliau sudah menyerahkan wang kepada peguamnya untuk membayar saman fitnah terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar minggu lalu.

Menurut Muhammad Sanusi, tindakan Mahfuz meminta bayaran itu menerusi media sosial sebelum ini hanya untuk menumpang populariti beliau semata-semata berikutan namanya kini sudah tenggelam.

“Saya dah serahkan duit kepada peguam saya seminggu dah, peguam saya sedang urus dengan peguam Mahfuz. Hal ini (biarlah) peguam dengan peguam, sebab kita dah lantik peguam masing-masing.

“Tak payahlah guna Facebook, TikTok apa semua tu. Tak ada isu bankrap tak bayar, semua diurus peguam…dia (Mahfuz) nak tumpang populariti saya. Dia telah tenggelam, kalau (kalah majoriti undi) 31,000 apa jalan lagi nak naikkan nama dia balik?,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, pada Sabtu.

Semalam media melaporkan Mahfuz meminta Sanusi segera menyelesaikan saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan atau notis kebankrapan bakal difailkan ke atasnya.

Mahfuz berkata sekiranya Muhammad Sanusi terus melengahkan bayaran saman itu, beliau akan berbincang dengan peguam dalam tempoh terdekat untuk tindakan seterusnya termasuk menyita aset Menteri Besar itu.

Pada 9 Oktober 2019, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebooknya pada 30 Julai tahun sama mengaitkan beliau dalam isu pemindahan premis judi ke kawasan itu.

Pada 3 April lalu, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah kes itu selain Mahfuz memohon untuk menaikkan saman terbabit daripada RM50,000 kepada RM120,000

Kata Muhammad Sanusi beliau tidak akan masuk campur urusan peguam seperti yang dilakukan oleh Mahfuz.

Beliau turut menyifatkan pengaruh politik Mahfuz juga sudah tumpul sehingga memaksa beliau ‘mencakar’ orang berpengaruh.

“Dulu dia (cakar) Tun Mahathir Mohamad, itu lah perangai Mahfuz yang saya kenal. Siapa yang popular dia akan pergi cakuk. Jadi saya serah kepada para pengundi untuk menilai tokoh politik itu,” katanya lagi lapor Astro AWANI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here