Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pengawal Keselamatan maut tertimbus runtuhan penahan tebing di Wisma YPR -

Pengawal Keselamatan maut tertimbus runtuhan penahan tebing di Wisma YPR

SEORANG Pengawal Keselamatan maut selepas tertimbus tanah akibat runtuhan penahan tebing di Wisma YPR, Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Penguasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Mohd Rizuan Razali berkata lelaki berusia 73 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.

Beliau berkata ketika kejadian mangsa sedang bertugas dan berada di dalam pondok pengawal.

Menurutnya, sebelum kejadian berlaku, terdapat bongkah batu yang jatuh berhampiran pondok pengawal keselamatan itu, pada 8 malam, semalam.

“Difahamkan, pengawal keselamatan berkenaan hendak membuat laporan berhubung bongkah batu yang jatuh itu namun tidak sempat.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.53 tengah malam tadi dan tiba di lokasi kejadian pada 1.05 pagi,“ katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Mohd Rizuan berkata seramai 41 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Seputeh bagi operasi mencari dan menyelamat.

Beliau berkata mangsa berjaya dikeluarkan pada kira-kira 6.30 pagi ini dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

“Setakat ini hanya seorang mangsa yang terlibat manakala lokasi runtuhan diserahkan kepada pihak pengurusan (Wisma YPR),” katanya.

— BERNAMA