Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Hadi, pemimpin bertemu Mahathir tandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu -

Hadi, pemimpin bertemu Mahathir tandatangani ‘Proklamasi Orang Melayu

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri  Tun Dr.Mahathir Mohamad.

Dalam pertemuan itu, mereka menyatakan sokongan kepada ‘Proklamasi Orang Melayu’ dan menandatangani proklamasi tersebut.

Pembantu Dr.Mahathir, Abu Bakar Yahya melalui Facebook menyiarkan pertemuan berkenaaan.

“Beberapa pimpinan tertinggi PAS yang diketuai Abdul Hadi Awang telah pun menandatangani menyokong proklamasi bangsa Melayu di hadapan (Tun Dr) Mahathir Mohamad,” katanya.

Laman Facebook ‘Proklamasi Orang Melayu’ turut memuat naik mengenai pertemuan itu dan menyiarkan rakaman video respons ringkas Abdul Hadi.

Ahli Parlimen Marang itu menyifatkan sokongan yang diberikan sebagai kembali kepada prinsip asal perjuangan Islam.

“Ini kita balik kepada prinsip asal perjuangan Islam itu sendiri, kalau kita baca al-Quran kita dapati Rasul memulakan perjuangan Islam walaupun untuk seluruh manusia – tonggaknya pada bangsa dan kaumnya.

“Kerana perjuangan memerlukan tonggak bangsa baru ada kekuatan, kalau tidak tidak ada kekuatan. Bukan kita fanatik kaum, tetapi itu asas,” katanya.

Turut hadir  Naib presiden Pas Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Mengenai dakwaan proklamasi itu bersifat perkauman, Abdul Hadi menegaskan dakwaan itu tidak betul.

“Saya rasa tak betul (perkauman), masa kita dah memerintah selepas merdeka dah berpuluh-puluh tahun tak pingirkan kaum lain. Kita terima hakikat yang ada itu, tetapi mesti menerima realiti Malaysia ini kaum asal dan majoriti orang Melayu, saya sokong,” katanya.