Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Umno kini cuma tinggal kaki bodek – Noh Omar -

Umno kini cuma tinggal kaki bodek – Noh Omar

BEKAS ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar mendakwa Umno kini hanya ditunjangi oleh kaki bodek dalam parti itu yang tewas dalam pemilihan parti.

Dengan memetik nama dua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil dan Lokman Adam yang tewas dalam pemilihan bahagian, Noh berkata bagaimana pemimpin ini boleh bercakap mengenai suara akar umbi.

Noh turut mengesahkan yang dia akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) atas tiket Perikatan Nasional (PN).

“Saya sayang Umno, sejak belajar di United Kingdom (UK) dahulu kini sudah 30 tahun saya dengan Umno. 

Namun, Umno kini hanya tinggal kaki bodek, kalah dalam pemilihan ketua bahagian dan cawangan.

“Lokman Adam, Isham Jalil, di peringkat bahagian pun mereka tak dapat menang macam mana Umno kata itu suara akar umbi,” katanya, lapor MalaysiaKini.

Bekas ketua Umno Selangor itu berkata, Umno kini sudah mula hilang bisa dan kini hanya gah pada nama.

Pada 28 Jan lalu, Umno menggantung keahlian Noh Omar dalam Umno disebabkan 16 pertuduhan dihadapinya kerana mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Umno Selangor, Megat Zulkarnain Omardin, berkata keputusan menggantung keahlian Noh bukannya disebabkan dia tidak bersetuju dengan usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti yang dibawa dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022.

Menurut Megat Zulkarnain antara tindakan sabotaj terbabit membabitkan soal calon yang ditampilkan untuk mewakili parti di kerusi Parlimen Tanjong Karang ketika PRU15.

Noh bagaimanapun meminta supaya keahliannya digugurkan selepas Umno membuat keputusan untuk menggantung keahliannya.

Dalam pada itu, Noh berikrar untuk menjadikan Parlimen Tanjung Karang sebagai kubu kuat PN pada PRN akan datang selepas sekian lama dikuasai Umno.

“Sudah 30 tahun saya mempertahankan kawasan Tanjung Karang sebagai kubu kuat Umno. Mereka (Umno) boleh benci saya tetapi jangan jadikan rakyat di sana sebagai mangsa kerakusan politik mereka,” katanya lagi.

Noh berkata dia faham dalam politik tidak ada yang kekal, pemimpin silih berganti apa yang ada hanyalah perjuangan sesebuah parti.

Mengakui Umno mempunyai pengikut yang ramai dengan lebih 1.3 juta keahlian, Noh berkata parti itu sememangnya hebat dari struktur dan sokongan akar umbi.

“Tetapi jika kerakusan ini diteruskan, Umno akan hilang. Umno telah lari dari perjuangannya dan bukan lagi tempat perlindungan orang Melayu.

“Sebagai contoh, usul tidak tanding jawatan presiden Umno antara salah guna kuasa dalam kepimpinan Umno,” tambah Noh lagi.