Noh Omar sahkan bertanding PRN Selangor atas tiket PN

0
135

ENGGAN jadi sekadar penonton, Tan Sri Sri Noh Omar akhirnya mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor mewakili Perikatan Nasional (PN).

Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu berkata, keputusan itu diambil memandangkan beliau sudah “sebati” dengan politik dan mahu terbabit dalam pilihan raya.

“Saya sudah sebati dengan politik. Saya bukan penonton, saya mesti terbabit sama dalam pertandingan politik.

“Jika pasukan dahulu (UMNO), selepas saya berkhidmat 30 tahun tendang saya, takkan saya jadi tukang sorak sahaja,” katanya menurut Berita Harian.

Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menggambarkan dirinya seperti “pemain bola sepak” yang akan berpindah ke pasukan lain selepas disingkir pasukan asal.

Pada Januari lalu, Noh disingkir UMNO selepas memohon dipecat berbanding hukuman asalnya iaitu penggantungan selama enam tahun.

Permintaan untuk dipecat dipersetujui Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi.

Terdahulu, dilaporkan anak Noh, Nurul Syazwani akan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tanjong Karang bawah tiket Bersatu.

Nurul kini ketua srikandi muda di Tanjong Karang, menyertai Bersatu selepas bapanya dipecat awal tahun ini.

Noh berkata, beliau memahami kekecewaan anaknya terhadap UMNO dan tidak menghalang niat Syazwani bertanding dalam PRN membawa cabaran PN.

“Sebagai bapa, sudah tentu saya akan turun berkempen untuknya jika benar dicalonkan bertanding dalam PRN Selangor nanti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here