PN selesai runding 90 peratus kerusi PRN – Dominic Lau

0
136

PERIKATAN Nasional (PN) akan berunding lagi bagi menyelesaikan agihan kira-kira 10 peratus baki kerusi untuk ditandingi parti komponen paling sesuai pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Timbalan Pengerusi PN merangkap Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata rundingan pengagihan kerusi untuk ditandingi PN bagi PRN di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan, setakat ini sudah 90 peratus selesai.

“PN sudah mengadakan perbincangan dan rundingan dengan pimpinan parti di keenam-enam negeri yang akan terlibat dalam PRN akan datang. Jika kerusi itu majoriti pengundinya adalah Melayu atau Cina, tak ada masalah besar, ia sudah diagihkan.

“Saya difahamkan setakat ini (pengagihan kerusi) sudah berada di tahap 90 peratus (selesai), hanya 10 peratus akan diusahakan siapa bakal mewakili PN dalam PRN akan datang dengan satu objektif sahaja, siapa boleh menang.

“Bagi GERAKAN, kami tidak mengutamakan kerusi tradisi, kami serahkan kepada pimpinan PN Pusat untuk tentukan dan kami sudah serahkan senarai kerusi yang hendak ditandingi GERAKAN kepada PN Pusat,” katanya.

Bercakap demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-24 Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM), di sini hari ini, beliau menyifatkan rundingan berkaitan pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen PN sebagai memuaskan.

“Lazim dalam mana-mana parti politik, terdapat beberapa kerusi (ingin ditandingi parti tertentu) bertindih dengan rakan parti komponen, terutamanya kerusi (pengundi) campuran,” katanya yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang.

Selain memilih parti komponen mana berpotensi menang di kerusi yang ditandingi nanti, beliau berkata, calon dan strategi yang betul juga perlu diketengahkan.

“Beberapa strategi mesti digunakan untuk memastikan kemenangan PN dalam PRN akan datang. PRN ini akan jadi satu petunjuk prestasi utama atau KPI kepada PN untuk menilai sokongan rakyat dari semua lapisan, semua kaum.

“GERAKAN akan lebih fokus kepada Pulau Pinang. Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy sebelum ini kata sokongan orang Melayu adalah kepada PN dan sokongan orang Cina pula kepada PH.

“Saya mahu katakan PN akan cuba dapatkan sokongan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya. Asalkan rakyat Malaysia layak mengundi, kita akan usaha dapatkan sokongan mereka,” katanya.

Sebagai Presiden GERAKAN, katanya, beliau perlu memastikan parti berkenaan boleh menang di semua kerusi di enam negeri yang ditandingi.

“GERAKAN Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat esok untuk membuat persediaan menghadapi PRN. Fokus mesyuarat pada strategi dan taktik yang boleh dapatkan sokongan rakyat kepada PN kerana sumber kewangan parti agak ketat selepas akaun dibekukan,” katanya lapor Berita Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here