Sekali lagi, lagu PH bakal jadi senjata makan tuan

0
163

Mohd Azam Mohd Atan

TERSEMAT di minda semua rakyat Malaysia lagu ‘Hoi Ya Hoi’ nyanyian Altimet untuk berkempen menyerang Barisan Nasional (BN) dengan gelaran kaki penyamun dan kluster mahkamah akhirnya menjadi senjata makan tuan bagi Pakatan Harapan (PH).

PH yang kini tidur sebantal dengan pemimpin BN semata-mata kerana mahu berkuasa terpaksa menelan segala bait-bait lirik asal lagu Ali Baba dengan 40 Penyamun yang mana lirik ‘Siapa sokong penyamun’ kini menjadi bahan sindiran ditukar menjadi ‘Kami (PH) sokong penyamun (BN)’.

Sama ada tidak serik atau ‘bermuka tebal’, pemimpin PH mencipta lagi lagu baru sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini apabila sebuah lagu rap pula dicipta khas untuk berkempen mengajak rakyat Kelantan untuk menukar kepimpinan kerajaan negeri.

Penulis sudah meneliti lagu ‘PRN Kelantan 2023: Mari Pakat Kita Tukar’ itu dengan isi kandungan lagu itu menyerang kerajaan Kelantan dengan isu air dan masalah peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu.

Setelah mendengar lirik lagu rap itu, penulis kemudiannya melihat komen-komen orang ramai di You tube lagu itu dimainkan dan reaksi netizen di Facebook bagi mengetahui pandangan terhadap kempen berkenaan.

Kebanyakan komen-komen yang ditinggalkan menyindir lagu baru itu kerana bakal menjadi ‘backfire’ kepada kerajaan PH-BN.

Ini kerana sentimen mahu tukar kerajaan sebenarnya lebih kuat kepada negeri-negeri yang dipimpin oleh PH ketika ini.

Isu-isu di peringkat nasional misalnya akan memberi kesan kepada pengundi di Selangor dan Negeri Sembilan yang akan menjadi kayu pengukur bahawa rakyat sedang melakukan protes besar-besaran terhadap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Banyak isu-isu yang masih tidak dapat diselesaikan sehingga kini yang jelas menunjukkan prestasi Anwar dan barisan kabinet sedia ada tidak seperti diharapkan.

Mereka lebih banyak bercakap daripada melakukan sebarang tindakan komprehensif untuk menyelesaikan isu-isu rakyat.

Sebarang perancangan jangka pendek belum menampakkan sebarang petanda bahawa masalah kos sara hidup, peningkatan harga barang dan banyak isu lain dapat diselesaikan.

Dasar-dasar baru pula tidak menepati kehendak dan keperluan rakyat seperti pinjaman bank menggunakan cagaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kelulusan jualan dan bermain mercun dan pengumuman penurunan harga simen ketika Aidilfitri.

Laungan untuk menghapuskan rasuah yang meniti di bibir juga nampak seperti retorik kerana masih mengekalkan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan pemimpin itu sedang berdepan dengan pendakwaan kes rasuah di mahkamah.

Oleh sebab kelemahan kerajaan PH-BN itu sendiri, maka sebarang kempen seperti mencipta lagu seperti itu tidak dapat memberi kesan kepada pengundi untuk mengubah sokongan terhadap Perikatan Nasional yang dianggotai Pas dan Bersatu.

Jika menyerang masalah air Kelantan pun, ia perlu dilihat asal-usul masalah itu berlaku iaitu masalah berkenaan adalah disebabkan kesan diskriminasi kerajaan pusat (BN) pada tahun 1990 yang mengamalkan dasar pilih kasih terhadap negeri diperintah pembangkang.

Projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) yang telah diluluskan pada tahun 1990 dengan nilai RM60 juta telah ditarik balik menyebabkan Kelantan terpaksa menguruskan fasiliti itu tanpa bantuan kerajaan pusat.

Menyentuh soal peluang pekerjaan pula, penulis yakin pengundi Kelantan tidak terkesan kerana rata-rata anak-anak perantauan Kelantan boleh menikmati peluang pekerjaan dan kemajuan di negeri-negeri lain.

Mereka sebenarnya selesa suasana negeri kelahiran mereka seperti mana yang ada sekarang kerana mengekalkan nilai dan ciri tradisional yang tidak ada di negeri-negeri lain.

Kesimpulannya, pada PRN kali ini, PH-BN bukan saja gagal untuk merampas negeri milik PN, tetapi perlu berdepan risiko hilang kuasa terhadap negeri yang ditadbir mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here