EMPAT cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 72, Jalan Kampung Saujana ke Kampung Fikri (Kampung Saujana) Setiu, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu turut mengakibatkan kereta jenis Honda Civic yang dinaiki empat remaja masing-masing berusia 20 tahun terbabit terputus dua.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kemalangan itu membabitkan dua buah kenderaan iaitu kereta Proton Persona yang dinaiki tiga beranak dengan Honda Civic dinaiki empat remaja.
Beliau berkata, kereta Proton Persona dalam perjalanan dari Besut menghala ke Merang, Setiu manakala Honda Civic dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Besut.
“Kereta Honda Civic hilang kawalan memasuki laluan bertentangan dan bertembung.
“Kemalangan menyebabkan semua pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan cedera.
“Kesemua pemandu dan penumpang dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Setiu untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Afandi berkata, pihaknya masih belum mengenalpasti kecederaan yang dialami pemandu Proton Persona berusia 47 tahun bersama penumpang berusia 39 tahun dan kanak-kanak berusia enam tahun.
Menurutnya, pemandu kereta Honda Civic, Muhammad Syamil Khairul Ihsam yang beralamat 1A Bukit Guntong Manir Kuala Terengganu patah peha kiri.
“Tiga lagi penumpang kereta Honda Civic, Syed Muhammad Fitri Syed Ahmad Yani; Muhammad Izzat Abdul Rohim dan Hafiz Azizi Harun mengalami cedera di bahagian kepala.
“Kes di siasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengakutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lapor Berita Harian.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.