6 bebas dengan ikat jamin selepas berhujung minggu di penjara

0
133

ENAM lelaki yang menghabiskan hujung minggu di penjara kerana tidak membayar ikat jamin, dibebaskan hari ini selepas membayar jaminan.

Peguam Alvin Tan berkata, penjamin diminta hadir di kaunter ikat jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 pagi tadi.

“Pagi ini, peguam mereka bersama penjamin tiba di mahkamah kira-kira 9.30 pagi. Pegawai mahkamah sudah bersedia dengan permohonan ikat jamin bagi enam tertuduh itu.”

“Di bawah bantuan pegawai mahkamah, penjamin berjaya melengkapkan prosedur ikat jamin sekitar tengah hari. Mereka akhirnya dibebaskan dengan ikat jamin,” katanya memetik laporan FMT.

Semalam, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dilaporkan berkata, enam lelaki itu dinafikan jaminan kerana penjamin mereka tidak hadir, bukannya akibat kaunter ditutup awal.

Khamis lalu, media melaporkan enam lelaki yang minta dibicarakan atas konspirasi jenayah dengan niat menipu, terpaksa menghabiskan hujung minggu panjang di penjara, dengan Tan mendakwa kaunter ikat jamin ditutup awal berbanding kebiasaan.

Tan dilaporkan mendakwa kaunter ikat jamin ditutup pada 2.53 petang, walaupun notis menyatakan waktu operasi kaunter ikat jamin sehingga 4.30 petang.

Tan menyuarakan penghargaan kepada pegawai mahkamah yang datang hari ini ketika cuti umum untuk memudahkan prosedur ikat jamin.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, badan kehakiman dan jawatankuasa undang-undang jenayah Majlis Peguam Kuala Lumpur atas perhatian segera mereka.

“Kami percaya perkara ini selesai sekarang, pada masa sama, kami berharap siasatan sewajarnya dapat dilakukan bagi memastikan keadaan sama tidak berulang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here