‘’Inshaallah kita akan raikan sebagai tetamu istimewa’’ – MB Terengganu

0
181

KERAJAAN negeri Terengganu mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet bagi menghadiri Rumah Terbuka Malaysia Madani pada 13 Mei ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri bersikap terbuka dan akan menghulurkan bantuan bagi menyambut Aidilfitri menerusi penganjuran rumah terbuka itu.

Tegas beliau, perbezaaan parti politik yang memerintah di peringkat negeri dan pusat bukan halangan untuk mereka bekerjasama.

“Walau apa pun objektif (atau) yang ingin dicapai oleh pihak (kerajaan) Persekutuan tetapi bagi pihak kerajaan negeri, kami sangat terbuka dan mengalu-alukan kedatangan rombongan Perdana Menteri dan semua anggota Kabinet untuk berhari raya di Terengganu.

“Kita cuba buktikan bahawa kita di Terengganu walaupun berbeza parti politik yang memerintah di negeri dan Persekutuan tetapi kita sesekali tidak menganggap ia sebagai satu halangan untuk bekerjasama.Jadi sila datang, Insya-Allah kita raikan sebagai tetamu yang istimewa,” katanya lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada wartawan pada  Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar di  Kuala Terengganu hari ini.

Buat pertama kali dalam sejarah majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri akan diadakan di luar Lembah Klang.

Selain Terengganu, Kedah, dan Kelantan, majlis serupa juga akan diadakan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Kerajaan negeri akan menjadi tuan rumah majlis berkenaan dan disokong oleh kementerian persekutuan.

Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri yang terlibat juga akan dijemput hadir pada majlis rumah terbuka itu.

Sementara itu, ketika ditanya adakah acara berkenaan  bertujuan meraih undi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, dia menyerahkan kepada masyarakat untuk membuat penilaian dan tafsiran sendiri.

“Terpulang pada tafsiran semua orang tetapi kita di peringkat negeri Terengganu, Insha-Allah kita mengalu-alukan kehadiran mereka. Kita tidak merasakan apa-apa (sebaliknya), kita rasa sangat gembira (dan) datang (ke Terengganu). Insha-Allah, kita raikan mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here