BELANJA secara berjimat cermat menjadi pilihan hampir segelintir besar penduduk Batu Pahat, apatah lagi selepas terkesan teruk akibat banjir besar bulan lalu.
Melalui tinjauan Bernama mendapati ramai penduduk mahu menyambut lebaran dengan meriah, tetapi perlu berbelanja secara berhemah.
Bagi Mohd Ariff Ab Razak, 37, dia sekeluarga membuat pembelian secara berjimat cermat untuk pakaian raya, sekadar sepasang berbanding dua atau tiga pasang sebelum ini.
Katanya, ini memandangkan sebahagian pendapatannya turut digunakan untuk membeli barangan lain yang rosak akibat banjir.
“Tahun ini, kami sekeluarga perlu mendahulukan keperluan dengan membeli katil, perabot dan beberapa peralatan rumah lain serta menjadikan pakaian hari raya bukan keutamaan, tapi jatuh nombor dua,” katanya ketika ditemui di Ekspo Ramadan Dewan Jubli Intan Batu Pahat, baru-baru ini.
Berkaitan juadah Aidilfitri, katanya, dia bersama keluarga seperti biasa memasak ketupat, rendang dan kuah lodeh, namun mengehadkan pembelian kuih raya.
Nursamimi Isnin, 24, pula berkata kebanyakan persiapan raya tahun ini dibelinya dalam talian kerana harga lebih murah berbanding di pasar raya atau di kedai mahupun tapak jualan ekspo Ramadan.
“Tahun ini, saya hanya membeli baju saja di ekspo Ramadan, itu pun kerana bimbang saiz pakaian terlalu besar atau sempit, yang lain saya beli dalam talian.
“Apa yang penting, raya tahun ini bukannya untuk bermewah-mewah, tetapi lebih menunjukkan rasa kesyukuran setelah kita berjaya menunaikan kewajipan di bulan Ramadan.”
Bagi peniaga Mohd Nahar Abdullah, 48, ini kali pertama sepanjang 18 tahun dia berniaga pakaian raya di ekspo Ramadan jualan agak merosot dan kurang memberangsangkan.
“Semasa selepas Covid-19 (Perintah kawalan pergerakan) dulu pun tak teruk macam ni, mungkin masing-masing nak berjimat…suasana di ekspo Ramadan memang penuh, memang ramai tapi kuasa membeli kurang, mungkin masing-masing nakkan suasana raya saja.” – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.