Aidilfitri suram ketika kuasa beli rakyat terus terhakis

0
164

JUTAAN umat Islam Malaysia bakal menyambut Aidilfitri hujung minggu ini namun di sebalik kemeriahan dan keriuhan yang sinonim dengan hari lebaran, tahun ini tampak suram untuk kebanyakan rakyat yang terkesan disebabkan keadaan kewangan mereka. 

Sebelum ini, rakyat Malaysia secara umum berdepan dengan kenaikan harga barang makanan terutamanya ayam dan telur sehingga kerajaan terpaksa mengimport telur dari India. 

Umum mengetahui satu Syawal sering disambut dengan kos yang tinggi. 

Orang Islam akan membeli kelengkapan raya seperti baju baru, kuih-muih dan sedikit perhiasan. 

Selain itu, perantau juga memerlukan kos untuk balik kampung. 

Justeru, sebahagian daripada mereka menuntut pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar namun ini tidak diendahkan kerajaan. 

Ramadan tahun ini, menyaksikan ribuan tan makanan terpaksa dibuang di bazar Kuala Lumpur dan Selangor kerana tidak laku. 

Ramai peniaga mengeluh kekurangan pelanggan pada tahun ini. 

Salah seorangnya ialah Pak Nordin yang berniaga ayam berempah dan nasi tomato di bazar Ramadan Seri Kembangan, Selangor. 

“Hari pertama lagi kita dah nampak trend pembeli bazar macam mana. Pelanggan tidak akan habiskan lebih RM10 untuk makanan di bazar. 

“Ada rakan sudah menutup tapak awal seminggu dari tarikh tamat Ramadan kerana tidak untung,” katanya kepada MalaysiaNow.

Begitu juga bazar Aidilfitri yang menawarkan kuih dan kelengkapan raya. 

Tidak menghairankan apabila membaca komen di media sosial yang mengakui mereka tidak banyak berbelanja pada tahun ini. 

Ada yang sanggup memakai baju raya beberapa tahun lepas kerana mendahulukan keperluan lain.

Tinjauan beberapa pusat membeli-belah di Kuala Terengganu mendapati keadaan tidak sesesak tahun-tahun ke belakang meskipun masih ramai dengan pengunjung.

“Jualan agak kurang kerana ramai mahu berjimat cermat. 

“Kalau dahulu, orang tidak berhenti masuk kedai sampai petang, sekarang apabila petang sudah lengang,” menurut seorang pembantu jualan di sebuah kedai kasut di ibu negeri Terengganu itu.

Sesi persekolahan yang bermula pada awal bulan lepas bermakna kuasa beli telah banyak dihabiskan membeli kelengkapan persekolahan anak-anak. 

Mohamad Fazli Sabri, pakar kewangan keluarga daripada fakulti ekologi manusia, Universiti Putra Malaysia berkata, perbelanjaan dijangka tetap meriah dengan bantuan raya kepada penjawat awam yang diumumkan baru-baru ini. 

“Kenal pasti dan susun keperluan mengikut keutamaan, Sekiranya boleh, elakkan pembelian pada saat-saat akhir.”

Selain itu, ada segelintir individu yang berada dalam dilema untuk pulang ke kampung halaman kerana kosnya melebihi bajet. 

Namun bagi Mohamd Fazli, wajar untuk setiap individu pulang ke kampung dan menziarahi ibu bapa. 

Sementara itu, Nordin berkata, dia memahami jika raya kali ini agak suram. 

“Duit tidak ada, simpanan pun sikit. Barang dapur mahal dan orang jadi tidak gembira,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here