POLIS membongkar aktiviti pengedaran dadah menerusi aplikasi Telegram susulan penahanan empat individu termasuk seorang wanita dalam serbuan di sebuah kondominium di Sungai Besi, Isnin lalu.
Ketua Polis Cheras Zam Halim Jamaluddin, berkata suspek berusia 26 hingga 43 tahun itu ditahan dalam operasi khas bermula 2 petang hingga 9 malam.
Katanya, dalam serbuan pertama di lobi kondominium berkenaan, mereka menahan seorang lelaki berusia 26 tahun bersama rampasan dadah jenis ganja seberat satu kilogram.
“Susulan tangkapan itu, kami menahan tiga lagi individu termasuk seorang wanita berusia antara 30 hingga 43 tahun di kondominium sama.
“Kami turut merampas 41,240 gram ganja, wang tunai RM200, seutas gelang emas, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan motosikal Honda RS,” katanya menurut Harian Metro.
Zam Halim berkata, keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan 42,000 penagih dengan nilai RM130,944.
Katanya, sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu menggunakan modus operandi berurusan dengan pelanggan di Telegram, selain menjadikan rumah sewa mereka sebagai tempat menyimpan dadah.
“Hasil perbincangan di Telegram, mereka akan menetapkan lokasi perjumpaan untuk menghantar dadah berkenaan yang diperoleh daripada pengedar tempatan di Kuala Lumpur bagi pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya.
Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati dua daripada tiga suspek lelaki memiliki rekod jenayah dan kes dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati dua suspek lelaki juga positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC).
“Semua suspek yang tidak memiliki pekerjaan tetap itu direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.